Kekangan kewangan dan kejohanan jadi faktor atlet tak mampu jadi atlet berkelas dunia

177

Malaysia mempunyai cukup ramai bakat-bakat dalam bidang sukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, tetapi kita gagal melahirkan ramai atlet berkelas dunia.

Datuk Wira Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Datuk Azizulhasni Awang adalah segelintir kecil sahaja atlet negara yang bertaraf dunia dan sehingga kini kita masih lagi tidak mempunyai pengganti kepada mereka.


Persoalan yang sering ditanya oleh ramai mengapa atlet negara tidak mampu untuk konsisten dan menjadi atlet berkelas dunia walaupun mereka ini mendapat elaun daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan lain-lain.

Realitinya hanya atlet itu sendiri sahaja tahu betapa peritnya mereka dalam bidang yang diceburi kerana perlu berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

Antara faktor utama mereka adalah kekangan dari segi kewangan dan juga kekurangan kejohanan menjadi penyumbang kepada mengapa mereka tidak mampu untuk menjadi atlet berkelas dunia.

Tolak ke tepi sukan popular seperti bola sepak dan badminton kerana penulis secara peribadi merasakan kegagalan mereka menjadi atlet berkelas dunia adalah atas sebab diri mereka sendiri kerana kewangan bukan satu isu untuk atlet dari kedua-dua sukan ini.

Namun atlet yang ingin diperkatakan adalah atlet sukan lain dengan memberi fokus kepada sukan skuasy dan golf.

Malaysia sebenarnya mempunyai cukup ramai bakat dalam kedua-dua sukan ini tetapi kerana kurang popular menyebabkan ia kurang mendapat pendedahan.

Apabila kurang popular ia secara tidak langsung menyebabkan atlet perlu bekerja keras untuk terus kekal bersaing dengan pelbagai kekurangan.

Dengan elaun yang diterima tidak mampu untuk menyara kehidupan seharian menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk menambah pendapatan dengan menjadi jurulatih pada waktu lapang mereka.

Perkara ini diakui sendiri oleh atlet dari kedua-dua sukan itu yang mengakui mereka perlu berbuat demikian bagi memastikan wang tambahan yang diterima dari menjadi jurulatih dapat menampung perbelanjaan mereka untuk menyertai kejohanan-kejohanan dalam di luar negara.

Tidak dapat memberi fokus sepenuhnya seperti atlet profesional lain menyebabkan mereka tidak dapat kekal fokus pada permainan sendiri kerana mereka juga perlu memastikan pelajar mereka dapat tingkatkan permainan mereka berikutan atlet itu dibayar.

Sebagai seorang atlet profesional, rutin harian mereka sepatutnya berkisarkan mengenai diri mereka sendiri yang mana perlu kekal fokus untuk tingkatkan lagi permainan mereka bagi memastikan dapat beri saingan di peringkat antarabangsa.

Dengan rutin seperti itu menyebabkan atlet negara tidak dapat kekal konsisten dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi mereka sendiri.

Selain dari perlu mencari wang tambahan, antara faktor lain yang menyebabkan atlet negara sukar untuk menjadi atlet berkelas dunia adalah kekurangan kejohanan di negara sendiri.

Untuk menjadi seorang atlet yang konsisten, mereka perlukan sertai banyak kejohanan untuk kekal konsisten dan bukannya hanya berlatih sahaja kemudian menyertai kejohanan beberapa kali sahaja untuk setahun.

Ini adalah realiti sebenar yang diceritakan sendiri yang mana ramai tidak tahu apa yang dilalui oleh mereka untuk terus berjuang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk negara tercinta.

Semua sedia maklum, Malaysia mempunyai pemain skuasy berkelas dunia iaitu Datuk Nicol Ann David namun beliau sudah pun bersara, jadi kini ramai yang menunggu ‘the next Nicol’.

Manakala untuk sukan golf pula, Gavin Green kini menjadi pemain golf profesional No. 1 negara kerana beliau satu-satunya pemain golf negara yang beraksi di jelajah Eropah yang dikenali sebagai DP World Tour.

Sekiranya kedua-dua sukan ini mempunyai dana setaraf seperti sukan badminton dan bola sepak, tidak mustahil negara akan mempunyai lebih ramai atlet berkelas dunia.