Liga amatur kini umpama liga samseng

462

Disebalik masalah kewangan yang agak parah dalam saingan Liga Super, namun perkembangan bola sepak di peringkat amatur memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara.

Selain liga amatur anjuran Amateur Football League (AFL) iaitu Liga M3, Liga M4 dan Liga M5, liga-liga sosial juga kini juga semakin banyak seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.


Ia adalah satu perkembangan yang cukup positif untuk bola sepak negara kerana kini semakin banyak platform untuk sesiapa sahaja memperlihatkan kehebatan mereka beraksi di atas padang.

Namun disebalik perkembangan positif itu, pastinya ada perkara negatif yang tampaknya semakin menjadi-jadi dalam kalangan bola sepak amatur ketika ini.

Tidak dapat dinafikan insiden pergaduhan sememangnya sering berlaku ketika perlawanan berlangsung tapi ianya hanya tidak memudaratkan.

Namun sejak kebelakangan ini, insiden pergaduhan membabitkan perlawanan bola sepak amatur kerap berlaku dan menjadi semakin ganas.

Kini pengadil perlawanan juga tidak selamat apabila ada segelintir pemain yang bertindak samseng dengan memukul pengadil apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil tersebut.

Semalam satu lagi insiden tidak diingini berlaku pada perlawanan Liga M5 Putrajaya FA 2023 yang menyaksikan pemain dan pengurusan daripada kedua-dua pasukan terlibat dalam pergaduhan akibat tidak berpuas hati.

Apabila insiden seperti ini berlaku, persoalan yang timbul dalam fikiran orang ramai adalah ini liga amatur atau liga samseng?

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemain atau pengurusan yang terlibat dengan insiden pergaduhan dengan memberi hukuman gantung dari menyertai mana-mana perlawanan bola sepak.

Ini kerana bola sepak adalah untuk menyatupadukan dan bukannya memecah belahkan.

Sedikit nasihat kepada pemain amatur di liga sosial. Tak perlu nak lagak seperti pemain profesional kerana anda main pun perlu bayar sendiri atau main kejohanan demi wang hadiah yang ‘ciput’, jadi tak perlu nak tunjuk samseng macam wang hadiah bernilai jutaan ringgit.