Kim Pan-gon minta semua pihak faham dan hormati pemain yang dipilih
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menyedari mengenai kritikan dan pertikian oleh peminat terhadap senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang dua perlawanan peringkat Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Pan-gon meminta semua pihak dapat memahami dan menghormati pemain-pemain yang dipilih kali ini.
“Saya tahu peminat mempunyai pandangan berbeza mengenai pemilihan pemain berbanding pilihan daripada kami tapi saya harap semua pihak faham yang kami hanya boleh pilih 23 pemain sahaja nanti di mana setiap posisi akan hanya mempunyai dua pemain.
Pemilihan pemain dibuat berdasarkan taktikal yang akan digunakan nanti kerana kami akan approach perlawanan nanti berbeza,”
katanya.
Beliau berkata setiap pemain yang terpilih masih belum terjamin untuk berada dalam skuad kerana pada bila-bila masa sahaja mereka boleh digugurkan dan pemain yang berada di dalam senarai bersedia boleh dipanggil.
Jelasnya lagi, berdasarkan keadaan semasa pasukan beliau berkata pemain yang dipilih kali ini adalah yang terbaik ketika ini.
“Setiap pemain mempunyai kelebihan masing-masing dan walaupun ada pemain yang tidak mempunyai minit permainan tetapi ada kalanya kita perlukan pemain itu untuk 20 atau 10 minit dan pemain itu mampu memberikan impak apabila diturunkan.”
Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan itu juga menegaskan semua pihak perlu menghormati setiap pemain walaupun pemain itu melakukan kesilapan.
Menurutnya, pemain juga manusia dan pastinya tidak akan lari dari membuat kesilapan walaupun sudah buat yang terbaik.
“Kita perlu hormat setiap pemain. Saya tidak suka jika ada yang tidak hormat pada pemain saya, kerana kita perlu hormat kerana pemain itu akan berjuang untuk anda.
Walaupun pemain buat kesilapan kita tetap perlu hormat kerana setiap manusia pasti akan buat kesilapan tapi kita tidak boleh hukum hanya kerana satu kesilapan.”
Tambahnya, beliau lebih suka melihat kepada keseluruhan pasukan iaitu kemampuan pasukan, komitmen, kesetian, patriotik dan pengorbanan.
Sementara itu, beliau juga enggan mengulas lanjut samada Leandro Velazquez akan menyarung jersi Harimau Malaya atau tidak sekiranya pemain itu berjaya melengkapkan proses naturalisasi sebelum kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.
Beliau mahu fokus pada dua aksi kelayakan terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai perancangan ke Piala Asia nanti.