Kelab profesional di Malaysia patut belajar dengan Kerteh FC

182

Kelab amatur, Kerteh FC merupakan salah satu contoh kelab yang diuruskan oleh individu-individu yang bijak walaupun bukanlah sebuah kelab profesional.

Pelbagai usaha dan insiatif yang dilakukan oleh pihak pengurusan untuk menjadikan kelab itu sebuah kelab yang mempunyai asas yang kukuh dari segi Pembangunan, fasiliti dan lain-lain.


Malah, Kerteh juga boleh dikatakan memiliki pengurusan yang lebih baik daripada kebanyakan pasukan-pasukan Liga Super.

Mereka berjaya mendapat kepercayaan oleh penyokong sehinggakan berjaya mencatatkan kehadiran ‘full house’ dalam satu perlawanan baru-baru ini.

Walaupun mempunyai pengurusan yang baik, ada penyokong yang tertanya-tanya mengapa kelab itu tidak bertanding dalam liga  yang lebih tinggi seperti Liga M3.

Menjawab kepada persoalan itu di laman sosial X, Kerteh berkata bahawa pihaknya masih sedang dalam memastikan supaya kelab itu mencapai objektif terlebih dahulu.

Empat objektif utama yang diletakkan adalah dari segi kewangan, pembangunan pemain, keterlibatan penyokong dan juga keterlibatan komuniti.

Justeru, kelab itu mahu memastikan kesemua objektif ini dicapai dengan jayanya sebelum memikirkan untuk melangkah lebih jauh.

Inilah mentaliti yang harus dicontohi oleh kebanyakan kelab profesional di Malaysia ini yang sukar untuk memastikan kelab terus mampan dalam saingan Liga Malaysia.

Kerteh menunjukkan bahawa mereka bukan semata-mata memikirkan keuntungan dalam jangka masa yang singkat tetapi memikirkan mengenai kelangsungan kelab dalam jangka masa yang panjang.

Pastinya apabila Kerteh sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh, mereka akan bergerak dengan jayanya dan mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain yang sudah wujud lebih lama.