Kantor AFC di Malaysia, kantor FIFA pula di Indonesia

514

Indonesia kini sah menjadi hab untuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di rantau ini, selepas badan itu membuka pejabatnya di Jakarta.

Pejabat itu telah dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo bersama-sama Presiden FIFA, Gianni Infantino yang mengatakan bahawa pihaknya melihat Indonesia mempunyai potensi besar untuk membangunkan bola sepaknya di tahap global.


Ini pastinya satu pencapaian yang amat membanggakan oleh bola sepak Indonesia, bukan sahaja untuk pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), tetapi juga buat para penyokong.

Malaysia sudah lama menjadi hab buat bola sepak Asia dan juga Asia Tenggara kerana kedua-dua badan itu memilih Malaysia sebagai ibu pejabat mereka.

Tetapi Indonesia serta penyokongnya kini boleh berbangga apabila badan induk bola sepak dunia itu memilih negara itu untuk membuka pejabatnya di Asia.

Selain itu, ini juga pastinya baik buat bola sepak Asia Tenggara secara keseluruhan dan boleh membuatkan FIFA lebih membuka mata mengenai pembangunan serta perkembangan bola sepak di rantau ini.

Kini, lebih banyak lagi wakil dari Asia Tenggara yang semakin ke hadapan dalam FIFA, termasuklah kejayaan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA.