Akram Mahinan saran pemain muda cari peluang main di liga luar

238

Pemain tengah KL City FC, Akram Mahinan menyarankan agar pemain-pemain muda tempatan cari peluang untuk beraksi di liga luar negara.

Menurut Akram, pemain-pemain muda sepatutnya berani mencuba dan cari pengalaman baru untuk kembangkan karier bola sepak mereka.


“Kita sebenarnya mempunyai ramai pemain-pemain muda yang berbakat besar tetapi apabila mereka masuk dalam pasukan utama mereka tidak akan dapat peluang untuk turun beraksi berikutan jurulatih akan beri keutamaan kepada pemain import.

Kita tidak boleh salahkan jurulatih kerana mereka tidak mahu ambil risiko letak pemain muda baru sebagai pemain utama. Jadi bila pemain itu lama tidak dapat turun beraksi, prestasi mereka secara automatik akan merudum.

Jadi saya sangat sarankan pemain-pemain muda yang ada ketika ini berusaha untuk cari peluang untuk bermain di liga luar jika boleh. Tak kiralah divisyen berapa pun janji dapat timba pengalaman di luar negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: KL City FC

Tambah Akram lagi, pemain muda tempatan perlu ubah mentaliti mereka supaya tidak main bola sepak semata-mata inginkan gaji lumayan sebaliknya main bola kerana cintakan sukan itu.

Ketika ini hanya dua pemain muda tempatan yang berkelana di luar negara iaitu Hadi Fayyadh di Jepun dan Luqman Hakim di Belgium.

Dalam pada itu, Akram turut memuji Luqman yang sanggup berkorban untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi pemain hebat apabila berhijrah ke K.V. Kortrijk.

Selain Luqman, seorang lagi pemain iaitu Hadi Fayyadh juga sanggup berkelana ke Jepun dengan bermain di Azul Claro Numazu (dipinjamkan dari Fagiano Okayama).

Tambah Akram lagi, beliau juga sebelum ini pernah cuba bermain di liga luar namun tidak mendapat peluang itu.

Sementara itu, Akram yang baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan bersama KL berkata musim ini beliau akan terus mempamerkan prestasi terbaik untuk mendapat peluang menyarung jersi Harimau Malaya lagi.