Ia satu penghormatan dapat bermain di sisi Leandro Velazquez – Paulo Josue

469

Pemain kebangsaan, Paulo Josue teruja sekiranya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Leandro Velazquez dinaturalisasikan dan dapat menyertai skuad kebangsaan.

Katanya, pemain itu merupakan salah seorang pemain tengah terbaik di negara ini dan ia pasti dapat memberi pilihan yang lebih banyak kepada jurulatih dalam membentuk skuad kebangsaan yang mantap.


“Bagi saya sekiranya jurulatih mempunyai pilihan pemain yang lebih banyak, ia adalah bagus untuk skuad kebangsaan, kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Leandro, dia adalah salah seorang pemain tengah terbaik di negara ini.

Jika dia diberi peluang untuk bermain dengan Harimau Malaya, saya tiada masalah dengan itu dan saya rasa ia adalah satu penghormatan untuk bermain di sisinya,”

Sejak kebelakangan ini, terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa Leandro akan menjadi pemain naturalisasi negara yang baharu.

Sementara itu, Paulo Josue tidak sabar untuk beraksi buat Malaysia pada kem kebangsaan kali ini selepas terlepas dua perlawanan sebelum ini akibat denggi.

Katanya, jurulatih sudah memberi maklum balas mengenai perlawanan sebelum ini menentang Tajikistan dan menekankan aspek yang perlu diperbaiki.

“Jurulatih telah berikan analisis mengenai perlawanan menentang Tajikistan dan semua pemain sudah faham apa yang perlu diperbaiki daripada perlawanan itu.

Kita harus lakukan dengan lebih baik kali ini kerana ini bukan lagi perlawanan persahabatan, saya harap kita akan raih tiga mata pertama.”