Prestasi cemerlang di JDT boleh bantu skuad kebangsaan – Afiq Fazail
Pemain Harimau Malaya, Afiq Fazail menganggap prestasi yang baik pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama kelab akan dapat membantu skuad negara bermain dengan baik.
Katanya, beliau teruja untuk menyarung jersi kebangsaan setelah sekian lama dan mahu membantu Malaysia mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 akan datang.
“Memang prestasi yang baik di kelab sedikit sebanyak amat membantu pasukan kebangsaan.
Bagi saya ia boleh memberi perkembangan yang positif untuk skuad negara,”
Seramai 11 pemain daripada JDT dipanggil dalam kem latihan skuad kebangsaan kali ini dan ini merupakan kali pertama nama Afiq dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Sementara itu, Afiq melihat terdapat perubahan yang signifikan terhadap gaya permain skuad kebangsaan kali ini berbanding kali terakhir beliau beraksi, dan beliau mengakui harus membuktikan bahawa dirinya layak berada dalam kesebelasan utama.
“Bagi saya skuad kebangsaan kali ini bermain dengan lebih pantas dan lebih ‘direct’.
Saya kena cuba menyesuaikan diri dengan gaya permainan skuad kebangsaan, dan selebihnya terpulang kepada pilihan jurulatih.”
Afiq menegaskan bahawa beliau hadir ke kem kebangsaan kali ini bukan sekadar mahu melengkapkan jumlah tetapi mahu bersaing untuk merebut tempat ke Piala Asia 2023.