Kita harus pastikan semua pasukan bawah FAM layak pusingan akhir kejohanan AFC – Hamidin Mohd Amin
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyasarkan satu tahap yang lebih tinggi buat semua skuad yang bernaung di bawah badan itu melalui fasa kedua F:30 yang dilancarkan sebentar tadi.
Katanya, semua skuad daripada pasukan bola sepak kebangsaan, pasukan bawah umur, pasukan wanita, futsal dan lain-lain kini harus layak ke kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Saya rasa sepanjang empat tahun ini kita dah buat sesuatu yang berjaya melalui fasa pertama, kita letakkan sasaran supaya semua pasukan kita layak ke pusingan akhir kejohanan AFC.
Jadi sekarang kita harus kekalkan lagi empat tahun dalam fasa kedua kerana kita memandang jauh kepada 2027 dan 2030 untuk berada di tahap yang lebih tinggi, kita kena pastikan semua pasukan kita kekal layak ke kejohanan AFC dan capai sesuatu,”
katanya.
Beliau menganggap fasa pertama F:30 yang berlangsung selama empat tahun daripada 2019 hingga 2023 adalah berjaya walaupun berdepan cabaran besar iaitu Covid-19.
Tambahnya, FAM adalah antara organisasi yang mewujudkan satu program seumpama F:30 yang mempunyai misi dan visi serta KPI yang khusus.
“Selepas saya pegang jawatan sebagai presiden pada tahun 2018 saya dapat rasakan penyokong melihat bahawa FAM tidak mempunyai visi dan misi, jadi ia buatkan saya laksanakan F:30.
Pada saya dengan garis panduan seperti F:30 ini, ia adalah bagus untuk saya, exco, ahli gabungan dan kakitangan FAM kerana semuanya tahu penanda aras yang perlu dicapai.”