Saya ingin lihat Malaysia menjadi antara 18 pasukan terbaik Asia – Kim Pan-gon
Ketua Jurulatih Kim Pan-gon menyatakan hasratnya untuk melihat pasukan kebangsaan menjadi antara 18 pasukan terbaik di dalam Asia melalui kemenangan berterusan di perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Beliau berkata kerana Malaysia yang kini berada di tangga ke 137 di dalam kedudukan FIFA, merasakan perlawanan malam esok adalah peluang keemasan bagi meningkatkan kedudukan pasukan secara keseluruhan.
Beliau yang percaya ianya akan menjadi aksi yang sangat sengit menyeru sokongan seluruh rakyat Malaysia demi menyuntik semangat dan motivasi kepada pemain.
“Saya tak dapat menjanjikan apa-apa keputusan tentang perlawanan esok. Ianya suatu perlawanan yang amat penting bagi kami.”
“Tanpa sokongan ramai, kami tak dapat melakukan apa-apa. Kami mahu gunakan kelebihan menjadi ‘tuan rumah’ dengan memberikan ‘environment’ yang terbaik di stadium.”
Katanya.
Pan-gon mengatakan bahawa persediaan pasukannya setakat ini adalah berada dalam keadaan baik.
Jurulatih yang berasal dari Korea itu juga mengatakan bahawa perlawanan ini adalah peluang terbaik bagi skuad kebangsaan untuk sampai ke peringkat seterusnya.
“Saya tidak punyai ragu dengan motivasi pemain yang tinggi saat ini.”
“Sebagai seorang jurulatih, perlawanan ini lebih penting dari Piala Asia kerana ianya berada di ‘second tier’. Perlawanan Kelayakan Piala Dunia adalah yang utama. Kami akan lakukan yang terbaik sepanjang perjalanan perlawanan ini.”
Pemain pertahanan Matthew Davies mengatakan bahawa dirinya bersama rakan seperjuangan juga sudah semakin serasi di atas padang demi beraksi dengan baik.
“Motivasi pemain sememangnya berada dalam keadaan baik. Sudah pasti ada kesilapan sana sini dan kami analisa kesilapan itu dan pastikan ianya tidak berlaku lagi.”
“Di dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami tak terapkan bermain secara individu. Sekiranya kalah, kami kalah bersama. Sekiranya menang, kami menang bersama.”
Matthew sempat menyatakan kesyukurannya dalam menyarung jersi Harimau Malaya di kala ini.
“Saya pada asalnya hanyalah seorang pemain junior kini sebagai pemain senior sememangnya amat berbangga dengan prestasi pasukan hari ini.”