Ervin Chang sasar Top 10 Order of Merit untuk ke Asian Tour musim depan

151

Pemain golf profesional negara Ervin Chang meletak sasaran untuk menamatkan musim ini di kedudukan 10 terbaik dalam Asian Development Tour (ADT) Order of Merit bagi mendapatkan card  untuk bermain di Asian Tour musim 2024.

Menurut Ervin, beliau kini mempunyai baki dua kejohanan iaitu Toyota Tour Championship (ADT) yang akan berlangsung di Saujana Golf & Country Club pada 15 hingga 18 November ini dan Saudi Aramco Invitational di Rolling Hills Golf Course, Arab Saudi pada 29 November hingga 2 Disember ini untuk mengutip mata semaksimum yang mungkin.


“Sekarang ini saya berada di kedudukan ke-18 dalam ADT Order of Merit dan saya berharap dapat menamatkan musim ini berada di kedudukan ke-10.

Dengan baki dua kejohanan iaitu Toyota Tour Championship dan Saudi Aramco Invitational ini saya harap dapat kutip mata semaksimum mungkin untuk layak berada di kedudukan Top 10 bagi layak ke Asian Tour,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ervin ketika ini berada di kedudukan ke-18 dengan 13,044.82 mata, manakala tempat ke-10 ketika ini diduduki oleh Naraajie Ramadhanputra dari Indonesia dengan 19,694.19 mata.

Selain mengejar card untuk ke Asian Tour, pemain berusia 25 tahun itu kini berada di puncak carta Toyota Tour selepas tujuh kejohanan apabila berjaya mengumpul wang hadiah kemenangan lebih RM131,688.00.

Jika Ervin mampu menamatkan kejohanan Toyota Tour Championship (ADT) pada kedudukan Top 5, beliau akan menjulang kejuaraan pada musim ini.

Pemain golf berasal dari Selangor itu juga sudah mempunyai perancangannya tersendiri untuk musim depan sekiranya gagal mendapatkan card untuk beraksi di Asian Tour.

“Jika tidak berjaya saya akan teruskan jalan yang saya telah tetapkan untuk diri saya musim depan iaitu terus bermain di ADT atau pergi ke ADT Q School dan terus bermain dalam jelajah tempatan.”

Beliau turut berkata mempunyai perancangan untuk bermain di jelajah luar negara tetapi perkara itu masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya menjelang kejohanan ADT yang akan bermula esok, Ervin berkata beliau berada dalam prestasi terbaik dan akan cuba menamatkan hari pertama di kedudukan terbaik.

Sedikit kelebihan buat beliau apabila kejohanan berlangsung di lapangan ‘home’ berikutan beliau merupakan duta Saujana Golf & Country Club.

“Saya sentiasa meletakkan harapan untuk menang dalam kejohanan yang saya sertai. Sepanjang kejohanan nanti saya akan perbaiki segala kekurangan dari hari pertama ke hari seterusnya.

Saya akan berasa sangat gembira sekiranya dapat menang pada kejohanan terakhir ini kerana saya adalah duta Saujana dan mempunyai banyak pengalaman bermain di sini.”

Kejohanan yang akan berlangsung esok akan menyaksikan sebanyak 144 pemain dari serata negara Asia akan turut berentap untuk merebut wang hadiah terkumpul berjumlah lebih RM350,000, selain mata penting untuk kedudukan ADT Order of Merit.