Harga tiket perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 meningkat, perlu ke?
Menjelang perlawanan pusingan kedua kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan Khamis ini, sudah pasti ramai penyokong skuad Harimau Malaya telah bersiap sedia untuk hadir menyuntik semangat kepada pasukan kebangsaan serta pemain kegemaran mereka.
Skuad kebangsaan yang kini berada di pusingan kedua di kejohanan itu sememangnya perlu bertungkus lumus mendapatkan tempat kedua terbaik keseluruhan pusingan kumpulan.
Namun begitu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat lebih cenderung menengahkan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ini berbanding Piala Asia 2023.
Seperti yang telah dijelaskan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin semalam, keutamaan lebih kepada kejohanan itu adalah demi melayakkan Malaysia ke pusingan ketiga.
Hal ini kerana pasukan kebangsaan telahpun mendapatkan tempat di Piala Asia 2023, oleh itu beliau melihat perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 sebagai punca penyumbang manfaat terbanyak buat Malaysia.
Berbaki lagi dua hari sebelum perlawanan, isu penjualan harga tiket juga menjadi suatu persoalan buat ramai penyokong.
Ramai yang mempersoalkan jumlah tiket yang dikatakan tidak berpatutan di waktu pertengahan bulan yang telah menyebabkan ianya kurang mendapat sambutan peminat sukan bola sepak tanah air.
Harga tiket yang dijual adalah RM40 (terbuka), RM60 (grandstand), RM80 (premium), dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun).
Menurut suatu hantaran di laman rasmi Facebook FAM pagi ini, hanya sebanyak 5,944 jumlah tiket yang telah berjaya dijual dan rata-rata penyokong mengklasifikasikannya sebagai jualan yang belum laris.
Ianya menimbulkan pelbagai persoalan dari penyokong namun harga yang ditetapkan oleh pihak FAM sendiri perlulah diteliti dan difahami sebaiknya.
Para penyokong tegar skuad Harimau Malaya harus memahami bahawa harga jualan tiket tersebut meningkat daripada biasa atas sebab kualiti kejohanan yang dimainkan.
Pihak lawan juga bukanlah pasukan yang dikatakan ‘biasa’ sahaja , sebaliknya ia adalah suatu pasukan yang kuat dan hebat di atas padang.
Selain itu, barisan pemain negara yang diturunkan juga adalah pilihan ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon yang mempunyai stamina tinggi, mampu beraksi dengan cemerlang dan sememangnya layak.
Oleh itu, harga tiket perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 sebegitu sudah pastinya akan menjanjikan intensiti permainan skuad kebangsaan yang pastinya lebih baik demi mencapai target kedudukan yang diingini.