Pengalaman pemain JDT beraksi di ACL boleh bantu skuad negara untuk harungi aksi berintensiti tinggi – Syahmi Safari

189

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Syahmi Safari melihat pengalaman pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi di pentas tertinggi Asia, AFC Champions League (ACL) sedikit sebanyak dapat membantu skuad negara.

“Saya rasa semua pemain di JDT sudah merasai perlawanan di ACL macam mana dia punya suasana perlawanan di peringkat tertinggi.

Saya rasa sedikit sebanyak dapat membantu pasukan kebangsaan untuk mengharungi perlawanan berintensiti tinggi,”

katanya.

Syahmi pada masa sama turut mengulas mengenai kenyataan pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang mengatakan Syahmi perlu ada dalam skuad negara kerana mempunyai kualiti untuk bantu skuad negara.


“TMJ sendiri setiap kali latihan memang baginda akan turun padang dan tengok dengan prestasi setiap pemain JDT dan setiap pemain yang bermain dengan pasukan kebangsaan.

Saya serah kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon sepenuhnya untuk pilih saya atau tidak kerana bagi saya sebagai pemain kita perlu berikan yang terbaik sahaja apabila terpilih.”

Beliau adalah salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Jumaat, 10 November 2023 bagi menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 dan Chinese Taipei pada 21 November 2023.

Dalam pada itu, Syahmi juga tiada masalah untuk bermain di posisi kanan atau pun kiri kerana ia bukan kali pertama beliau bermain di posisi yang berbeza bersama skuad negara.

“Panggilan skuad negara sebelum ini juga saya diberikan peranan sama ketika kelayakan Piala Dunia di UAE saya menjadi backup kepada Corbin, jadi saya rasa tak jadi masalah kepada saya atau mana-mana pemain pun kerana kami memang akan beri komitmen 100% dan bersedia jika apa-apa berlaku.”