‘Bogey free round’, Galven Green tamatkan hari pertama Toyota Tour Championship (ADT) di kedudukan kedua

106

Pemain golf profesional negara, Galven Green mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama Toyota Tour Championship Asian Development Tour (ADT) dengan tanpa sebarang bogey untuk mencatat skor 67 pukulan empat dibawah par.

Galven ketika ini hanya ketinggalan satu pukulan dibelakang pendahulu Suttinon Panyo daripada Thailand yang menamatkan hari pertamanya dengan lima dibawah par dalam kejohanan yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club (SGGC).


“Saya bermain agak baik sepanjang hari ini termasuk berjaya melakukan beberapa pukulan yang hampir ke pin sekaligus mudah untuk saya putt untuk birdie.

Permainan saya juga konsisten pada hari ini dan banyak beri ruang kepada diri untuk mendapatkan skor rendah,”

katanya.

Pada masa sama turut berkata beliau perlu perbaiki teknik putting berikutan keadaan green yang agak mengelirukan, namun memuji keadaan lapangan yang berada dalam keadaan cukup baik.

Dalam pada itu, Galven juga sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berikutan keadaan di negara ketika ini akan hujan lebat pada sebelah petang.

“Melihat pada keadaan cuaca saya jangka ia akan hujan lebat pada sebelah petang jadi saya perlu buat percaturan sepanjang minggu ini. Saya gembira dapat menamatkan hari pertama dengan skor yang agak baik.

Tidak dapat dinafikan cuaca hujan akan sedikit sebanyak memberi impak, tapi saya akan cuba berikan permainan terbaik saya.”

Galven merupakan antara salah seorang daripada 144 pemain golf profesional dari seluruh negara berentap untuk merebut kejuaraan yang menawarkan wang hadiah terkumpul sebanyak RM350,000.

Selain wang hadiah, pemain juga mahu menamatkan kejohanan ini di tangga terbaik bagi mengutip mata Order of Merit (OOM) bagi mendapatkan card untuk bermain di Asian Tour pada tahun hadapan termasuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.