Kejohanan kelab ASEAN bakal padatkan jadual, lebih baik slot diberi kepada kelab yang tak sertai kejohanan AFC

386

Persektutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan bahawa Kejohanan Bola Sepak Kelab ASEAN akan kembali pada tahun hadapan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2005.

Kelab yang mewakili Malaysia pada ketika itu adalah Pahang, yang layak atas tiket juara Liga Super 2004, di mana mereka menamatkan saingan sebagai naib juara.


AFF sebenarnya merancang untuk mengembalikan kejohanan itu pada tahun 2020, namun disebabkan pandemic Covid-19, ia telah ditangguhkan sehingga 2022 dan akhirnya dibatalkan.

Sebanyak 12 kelab telah disusun untuk mengambil bahagian dalam saingan itu, termasuk dua slot untuk kelab Malaysia, namun pada ketika itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia dilaporkan menolak daripada menghantar penyertaan atas dua sebab, iaitu menunggu kejohanan itu mendapat kelulusan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dan juga disebabkan jadual yang padat untuk kelab Malaysia.

Sekiranya AFF menggunapakai syarat kelayakan seperti edisi sebelum ini, ia bermakna Malaysia akan diwakili oleh juara Liga Super, dan satu lagi slot mungkin diberikan kepada juara piala domestik tertentu.

Justeru, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan layak untuk menjadi wakil Malaysia di samping sebuah lagi kelab lain.

Persoalannya, adakah relevan untuk JDT dan kelab lain menyertai kejohanan itu, memandangkan terdapat kejohanan-kejohanan lain yang sedia ada, termasuk kejohanan domestik dan kejohanan kelab AFC.

Sudah pasti jadual untuk pasukan yang layak ke Kejohanan Bola Sepak Kelab ASEAN akan bertambah padat dan boleh mengganggu jadual liga domestik itu sendiri.

Pada musim ini, jadual Liga Super juga telah disusun untuk ‘membantu’ wakil Malaysia yang ke kejohanan AFC iaitu JDT, Sabah dan Terengganu, di mana ia telah menyebabkan terdapat tempoh rehat yang begitu lama untuk kelab-kelab lain.

Sekiranya kelab yang sama yang terpilih untuk kejohanan kelab AFF dan AFC, ia akan menyebabkan jumlah perlawanan yang semakin banyak untuk kelab terbabit.

Wajarkan pihak penganjur Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) menolak undangan untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Kelab ASEAN, seperti apa yang dilakukan oleh FAM pada 2020, bagi mengelakkan jadual liga yang padat?

Atau mungkin pihak MFL boleh berunding dengan pihak AFF supaya memberi slot kejohanan itu kepada kelab-kelab lain yang tidak bertanding dalam kejohanan AFC, contohnya kepada tempat ketiga liga.