Harga tiket perlawanan kurang berpatutan, FAM diseru beri harga tiket ‘rahmah’?

515

Bagaimanakah caranya untuk kita penuhkan stadium sekiranya tiket perlawanan dijual dengan harga yang kurang berpatutan? 

Ianya mampu dikaitkan sebagai punca kekalahan sesebuah pasukan oleh sebab kehilangan suntikan motivasi dan sokongan padu dari para penyokong tegar. 


Contoh dapat dilihat menerusi jualan harga tiket perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, dimana skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Tiket dijual pada harga RM40 (terbuka), RM60 (grandstand), RM80 (premium), dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun). 

Dikala waktu pertengahan bulan dan juga pada hari bekerja (Khamis), tidak hairanlah mengapa hanya 11,978 tiket yang berjaya terjual berdasarkan hantaran di laman rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sembilan jam sebelum perlawanan. 

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut meluahkan kekecewaan dengan perkara tersebut dan memohon FAM untuk mempertimbangkan penurunan harga tiket demi menjemput lebih ramai penyokong. 

Beliau yang amat prihatin dengan situasi ini telah bertindak menyampaikan cadangan itu kepada pihak atasan FAM dan sedang menunggu maklum balas dari mereka. 

Perlukah pihak terbabit menukar strategi penjualan tiket dengan memanfaatkan inisiatif konsep ‘rahmah’ seperti jualan barangan keperluan rakyat dan makanan yang telah diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)? 

Semakan mendapati rata-rata penyokong memilih untuk harga tiket perlawanan diturunkan kepada hanya RM30 sebagai harga paling minimum.

Selain itu, tiket bagi kanak-kanak mungkin tidak wajib untuk diletakkan harga kerana perkara itu jarang sekali berlaku dan sudah pasti ibu bapa yang hadir menyokong akan membawa anak-anak mereka. 

Meskipun bekas penyerang Selangor Azman Adnan, merasakan bahawa harga tinggi bukanlah suatu masalah, namun ianya juga tidaklah sesuatu yang mampu dikecapi oleh semua golongan masyarakat didalam keadaan sebegini. 

Barangkali Malaysia perlu mencontohi jejak harga tiket perlawanan yang sama di antara Iraq menentang Indonesia malam ini yang meletakkan harga tiket yang mampu milik hingga laris mencapai kapasiti stadium sebanyak 65,000 penonton.

Mereka sudah pasti telah mengkaji dan menganalisa lebih mendalam mengenai situasi semasa serta kos sara hidup rakyat yang tinggi sebelum meletakkan harga untuk sekeping tiket. 

Tidak dinafikan juga, ianya berharga sedemikian atas sebab kualiti serta taraf kejohanan yang amat tinggi.  

Namun, bermain di gelanggang sendiri, tidakkah asing bagi kita dengan hanya sorakan dari 11,978 penonton daripada kapasiti penuh Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu 100,200 sahaja yang akan didengari pada perlawanan itu malam ini? 

Diharapkan pihak FAM dapat mempertimbangkan lagi penurunan harga tiket untuk perlawanan akan datang seperti saranan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh demi menerima lebih ramai penyokong di ‘rumah kita’, Stadium Nasional Bukit Jalil.