Cabaran Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya baru

264

Tidak dapat dinafikan sejak beberapa hari lalu peminat bola sepak tempatan tertanya-tanya siapakah ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baru.

Akhirnya terjawab juga apabila tengahari tadi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan perlantikan ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai pengendali skuad Harimau Malaya yang baru.


FAM bukan sahaja Pan-gon sahaja tetapi juga empat kejurulatihan sendiri, terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.

Sumber foto: FAM

Jawatan terakhir Pan-gon sebelum menjadi pengendali Malaysia adalah sebagai pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Korea. Beliau juga pernah membimbing pasukan Hong Kong.

Memandangkan FAM melantik pengendali dari Korea Selatan bersama empat staf teknikalnya, adakah pihak FAM akan turut melantik seorang jurulatih tempatan untuk membantu ketua jurulatih dalam memberi input mengenai pemain-pemain negara.

Ternyata Pan-gon berdepan tugas yang sukar apabila mengambil alih daripada Tan Cheng Hoe berikutan skuad negara kini berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas kegagalan di saingan Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Sumber foto: FAM

Cabaran pertama beliau sudah semestinya untuk mengenal pasti pemain-pemain yang mampu sesuaikan diri dengan taktikal yang akan dibawanya.

Memandangkan saingan Liga Malaysia akan membuka tirai pada awal bulan Mac ini, maka Pan-gon dan stafnya perlu cepat membuat penilaian terhadap pemain-pemain tempatan sebelum menyenarai pendekkan untuk dipanggil.

Ini kerana jurulatih berusia 52 tahun itu mempunyai tempoh yang begitu singkat untuk mempersiapkan skuad yang mantap untuk menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang mana undian akan berlangsung pada bulan Februari.

Manakala tarikh perlawanan pula telah ditetapkan pada 8,11 dan 14 Jun nanti dengan venue perlawanan masih belum ditentukan.

Ini bermakna Pan-gon hanya mempunyai tempoh sekitar empat bulan sahaja untuk mencari dan melatih pemain-pemain untuk menyesuaikan diri dengan taktikal barunya.

Sumber foto: FAM

Perlawanan di kelayakan Piala Asia 2023 akan menjadi tumpuan peminat yang mahu melihat perubahan berlaku dalam skuad negara.

FAM secara jujur mengakui pertukaran jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan, namun mereka akan cuba berbincang dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memastikan kelab di liga tempatan dapat hasilkan pemain berkualiti.

Tetapi cabaran sebenar Pan-gon bukanlah ketika pasukan skuad negara bermain tetapi adakah beliau akan dapat pemain yang beliau kehendaki dan yang paling utama adakah beliau akan diberi kebebasan seratus peratus untuk mengambil sesiapa pemain yang dirasakan sesuai tanpa ada campur tangan daripada sesiapa.

Ini kerana jika masih lagi ada campur tangan dari ‘tangan ghaib’ ia bermakna perlantikan ketua jurulatih baru ini tidak akan membawa sebarang makna langsung.

Peminat dahagakan kejayaan pasukan bola sepak negara dan mahu perubahan dilakukan agar pasukan kesayangan mereka kembali menjadi pasukan yang digeruni lawan seperti dahulu.

Malah dengan perlantikan Pan-gon ini ia sedikit sebanyak memberi harapan baru kepada peminat yang tidak pernah putus menyokong skuad Harimau Malaya.