Pemain lebih bersemangat selepas seminggu latihan intensiti tinggi – Umar Hakeem

103

Pemain pasukan kebangsaan B-23, Umar Hakeem memberitahu beliau dapat melihat perubahan dalam pasukan selepas seminggu mereka menjalani latihan bersama di bawah kendalian Juan Torres Garrido.

Menurut Umar, pemain kini lebih bersemangat untuk mengharungi kempen Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada April 2024.


“Alhamdulillah, bagi saya persiapan berjalan dengan cukup lancar dengan latihan sangat berintensiti tinggi yang mana kita dapat lihat selepas seminggu setiap pemain cukup bersemangat untuk bermain di kempen Piala Asia nanti,”

katanya.

Umar mengakui perlawanan persahabatan antarabangsa penting, namun beliau juga menekankan bahawa beri komitmen tinggi dalam setiap sesi latihan juga penting.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pemain tiada masalah untuk mendapatkan keserasian kerana sebagai pemain bola sepak profesional mereka perlu menyesuaikan diri dengan cepat termasuk pemain kacukan Richard Chin.

“Beliau masih lagi baru di Malaysia dan mungkin susah untuk beliau faham bahasa kita tapi beliau okey saja.”

Umar pada masa sama berkata tiada banyak yang beliau dan rakan sepasukan dapat bantu Richard kerana beliau merupakan seorang pemain yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

“Kita banyak bantu antara satu sama lain berbanding saya bantu beliau. Beliau juga seorang yang tiada masalah untuk bergaul dengan kami.”

Sementara itu, biarpun kehadiran Richard akan dapat membantu pasukan, beliau yakin setiap pemain yang berada dalam skuad mempunyai kelebihan masing-masing.

Skuad Harimau Muda menjalani kem latihan pusat bermula 13 hingga 21 November sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar tahun depan.