Guna bendera UK sebagai identiti, apa status kewarganegaraan Lee Tuck?
Selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC pada pertengahan musim ini, pemain kebangsaan negara, Lee Tuck kini dilihat sudah tidak aktif bermain bola secara profesional.
Beliau dilihat lebih aktif menguruskan perniagaan hartanah yang telah diusahakan ketika bermain di Malaysia lagi.
Baru-baru ini, beliau ada berkongsi satu hantaran di laman Instagram yang menunjukkan beliau berjaya memenangi satu acara larian di Barcelona, Sepanyol.
Namun, peminat bola sepak tempatan terkejut apabila melihat terpapar bendera United Kingdom (UK), Union Jack bersebelahan namanya, dan menunjukkan beliau mewakili Great Britain dalam acara itu.
Di ruangan komen, Lee Tuck ada menjelaskan bahawa benderanya adalah kedua-dua bendera United Kingdom dan Malaysia.
Tetapi Malaysia merupakan antara negara yang amat tegas dalam status kewarganegaraan, di mana rakyat Malaysia tidak dibenarkan sama sekali mempunyai kewarganegaraan lain.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentu beliau tahu mengenai perkara itu, dan berbangga menggunakan Jalur Gemilang sebagai identiti kewarganegaraan.
Ramai peminat bola sepak tempatan yang masih berharap bahawa Lee Tuck akan kembali bermain untuk skuad kebangsaan, memandangkan prestasinya sebelum ini begitu memberangsangkan.
Tetapi, dengan perkembangan ini, mungkinkah pintu buat beliau beraksi dengan Harimau Malaya kini sudah tertutup sama sekali?
Antara pemain naturalisasi negara yang patut dicontohi adalah pemain Sri Pahang iaitu Sergio Aguero yang dilihat benar-benar berjiwa Malaysia.
Aguero sebelum ini dilihat pergi menjalankan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya, selain belajar bahasa kebangsaan dan juga lagu kebangsaan, Negaraku.