Perak FC buktikan tahap Liga Malaysia bukanlah ‘cikai’, lebih tinggi dari Liga Indonesia
Ketika jendela perlawanan antarabangsa FIFA yang berjalan ketika ini, beberapa kelab ada mengadakan perlawanan persahabatan bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan yang baik.
Tidak terkecuali pasukan Perak FC, yang mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Indonesia, menentang pasukan Liga 3, Serpong City dan pendahulu Liga 1, Borneo FC.
Perak berjaya meraih kemenangan 4-2 menentang Serpong City, manakala tewas tipis 3-2 menentang Borneo.
Perak yang pada awal musim dilihat bergelut dan berada di kedudukan tercorot liga, kini telah menunjukkan prestasi yang semakin baik sejak dikendalikan oleh Yusri Che Lah.
Dengan menggunakan rata-rata pemain muda, mereka kini telah berjaya memanjat kedudukan liga dan kini berada di tangga kesembilan.
Keputusan yang positif dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini juga menunjukkan bahawa Perak adalah sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian pada musim hadapan.
Bukan itu saja, ia menunjukkkan betapa berbeza jurang antara saingan Liga Indonesia dan juga Liga Malaysia, di mana pasukan pertengahan liga mampu memberi saingan yang hebat kepada pendahulu liga.
Ramai peminat Indonesia yang menganggap bahawa saingan Liga Malaysia tidak mempunyai persaingan yang hebat dan tidak cukup bagus buat perkembangan pemain-pemainnya.
Pemain Sabah, Saddil Ramdani contohnya sebelum ini pernah ‘bergaduh’ dengan peminat Indonesia gara-gara menganggap beliau hanya membazirkan kariernya dengan bermain di Malaysia.
Walaupun hanya perlawanan persahabatan, Perak telah menunjukkan bahawa kualiti Liga Malaysia tidak seharusnya dipandang rendah.