Mengapa lebih banyak tayangan skrin besar ketika Harimau Malaya bermain di ‘home’?
Bagi memastikan peminat bola sepak kebangsaan di tanah air dapat menyaksikan Harimau Malaya beraksi menentang Chinese Taipei pada malam ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan tayangan skrin besar di tujuh lokasi di seluruh negara.
Ini bukanlah kali pertama KBS melaksanakan inisiatif itu, kerana pada perlawanan menentang Kyrgyzstan sebelum ini, sebanyak 16 skrin besar telah dipasang di seluruh negara.
Ia dilihat sebagai satu usaha yang baik oleh KBS dalam memberi peluang kepada peminat yang tidak dapat hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya.
Namun, agak pelik apabila KBS memasang lebih banyak skrin besar ketika Harimau Malaya beraksi di tempat sendiri berbanding di tempat lawan.
Secara logiknya, apabila Malaysia beraksi di gelanggang lawan, lebih banyak skrin besar yang harus dipasang memandangkan tidak ramai yang mampu untuk bertandang ke stadium di luar negara.
Selain itu, tayangan skrin besar sepatutnya diminimakan ketika Harimau Malaya beraksi di gelanggang sendiri untuk menggalakkan orang ramai hadir ke stadium.
Pada perlawanan menentang Kyrgyzstan tempoh hari, hanya sekitar 17,000 penyokong sahaja yang hadir memberikan sokongan di stadium, dan perkara itu juga dibangkitkan oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Mungkin disebabkan terdapat tayangan skrin besar, terdapat penyokong yang pada mulanya mahu ke stadium membatalkan hasrat mereka dan menonton di skrin besar.
Pada masa akan datang, mungkin KBS boleh meminimakan jumlah skrin besar di kawasan Lembah Klang sekiranya Harimau Malaya bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menggalakkan orang ramai hadir ke stadium.