Eksklusif: Hampir 40 tahun menabur jasa, ini balasan untuk Coach Jega?

1,884

Sebagai individu yang bertanggungjawab dalam melahirkan jaguh paralimpik olahraga dunia, Coach R.Jeganathan dilihat kecewa dengan keputusan yang bakal diumumkan MSN yang dijangka akan menggantikan beliau dengan beberapa calon termasuklah pengendali dari luar negara.

Jeganathan sepatutnya diberi peluang lebih lama lagi untuk mengendalikan atlet paralimpik  berikutan pencapaian cemerlangnya bersama skuad negara. Malah beliau juga pernah mendapat penganugerahan Jurulatih Lelaki Kebangsaan Anugerah Sukan Negara 2016.


“Saya bersama MSN hampir 40 tahun dalam sukan olahraga. Sebelum ini saya melatih pasukan olahraga negara dan kini membawa kecemerlangan kepada sukan paralimpik negara yang sebelum ini tak ada orang kenal pun”

Ujarnya kepada Harimau Malaya

Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, Jeganathan dikhabarkan tidak akan disambung kontrak oleh MSN walaupun telah 24 tahun bersama skuad paralimpik negara. Namun keputusannya masih belum diputuskan MSN sehingga mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) yang akan berlangsung selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.

Coach Jega turut menyuarakan rasa sedihnya  jika terpaksa meninggalkan atlet para yang dianggap seperti anak-anaknya sendiri. Beliau juga pernah melalui situasi diejek dan disindir kerana melatih atlet OKU namun beliau tidak menghiraukannya.

“Saya sanggup berulang-alik untuk tinggal bersama para atlet, seperti warden yang menjaga keperluan mereka. Bila MSN kata coach berumur 60 tahun ke atas tidak akan disambung kontrak, apa salahnya jika saya masih ada kudrat untuk melatih

Tambahnya lagi

Jeganathan mula menceburi bidang kejurulatihan olahraga negara pada 1983 sehingga 2001 sebelum dilantik menjadi jurulatih paralimpik olahraga negara pada 1998 sehingga kini. Ia merupakan satu tempoh yang panjang dan cukup membuktikan kredibiliti beliau sebagai jurulatih yang paling layak untuk terus mengemudi paralimpik negara. 

Antara pencapaian kontinjen paralimpik negara dibawah Coach Jega adalah berjaya meraih pingat dalam acara lompat jauh dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan ia dianggap sebagai yang terbaik pernah dicapai kontinjen negara.

Manakala di Sukan Paralimpik Rio 2016, Malaysia berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa, masing-masing menerusi sukan olahraga disertai Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail.