Format pertandingan Piala MFL musim depan mungkin akan diubah – Stuart Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memberi bayangan bahawa saingan liga Piala MFL mungkin akan menukar formatnya pada musim hadapan.
Menurut Stuart, perubahan format pertandingan akan diubah bagi memastikan pemain mendapat lebih banyak perlawanan.
“Format pertandingan kemungkinan akan dimajukan bagi memastikan pasukan B-23 mendapat perlawanan yang lebih dan musim yang lebih panjang.
Itu sedang dibincangkan tetapi keputusan-keputusan teknikal ini saya akan adakan summit bersama CEO dan Pengarah Teknikal pada awal tahun depan untuk pastikan apa-apa perubahan dapat sokongan setiap kelab,”
katanya.
Pada musim ini, saingan Piala MFL berjalan dengan menggunakan format kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B dengan empat pasukan teratas dari kedua-dua kumpulan akan mara ke Group Juara Piala MFL.
Dua pasukan teratas saingan Group Juara Piala MFL akan beraksi dalam perlawanan akhir yang mana Terengganu FC II (TFC II) telah berjaya menjadi juara sulung Piala MFL selepas menewaskan JDT II.
Dalam pada itu, Stuart turut menjelaskan bahawa syarat pemain lebih usia atau pemain import akan dikekalkan seperti musim ini.
Berdasarkan peraturan semasa, MFL memperkenalkan kuota lima pemain lebih umur termasuk tiga pemain import bagi memastikan kualiti perlawanan Piala MFL ditingkatkan kerana ia bertujuan untuk mempersiapkan pemain ke skuad senior.
MFL bagaimanapun hanya membenarkan dua pemain import sahaja untuk beraksi di atas padang.
Objektif utama kewujudan Piala MFL adalah bagi memastikan perkembangan pemain muda dengan mendapat minit permainan yang cukup supaya mereka tidak bergelut apabila diserap ke skuad utama kelak.