KWSP dan PERKESO untuk atlet angkat martabat sukan negara ke tahap lebih tinggi
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan bahawa pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti pelaksanaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk atlet negara bermula Januari 2024.
Ia dilihat sebagai satu anjakan paradigma buat arena sukan negara dan satu langkah yang mampu mengangkat lagi martabat atlet kebangsaan.
Perkara itu mendapat sambutan baik daripada atlet antaranya Datuk Pandelela Rinong yang bersyukur apabila kebajikan atlet akan lebih baik dengan pelaksanaan caruman tersebut.
Pujian harus diberikan kepada pihak KBS di bawah pimpinan Hannah yang mendengar keluhan hati atlet serta bersungguh-sungguh dalam menjadikan perkara ini satu realiti.
Kewujudan skim KWSP dan juga PERKESO untuk atlet diperakui amat penting, lebih-lebih bagi memastikan kelangsungan atlet selepas persaraan atau ketika sudah lanjut umur.
Karier seorang atlet tidaklah begitu panjang, rata-ratanya akan bersara sebelum menginjak usia 40 tahun lagi, dan tidak ramai yang bernasib baik dapat terus berkecimpung dalam bidang sukan sama ada sebagai jurulatih atau lain-lain kerjaya.
Justeru, caruman KWSP dilihat sangat membantu dalam memastikan atlet mempunyai wang atau simpanan untuk meneruskan hidup mereka.
Sudah banyak kes yang berlaku di mana atlet terpaksa meminta sedekah atau bergantung sepenuhnya kepada badan kebajikan seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kerana tidak mampu menampung hidup sesudah persaraan atau selepas mendapat kecederaan yang membuatkan mereka terpaksa bersara.
Dengan adanya caruman KWSP dan PERKESO, ia dapat mengelakkan kejadian-kejadian seperti itu terus berleluasa.
Diharapkan pelaksanaan KWSP dan PERKESO untuk atlet ini dapat dilakukan mengikut perancangan dan memastikan kaedah pelaksanaannya praktikal untuk kesejahteraan wira dan wirawati negara.