Pamer peningkatan paling tinggi di Asia Tenggara, Malaysia di landasan terbaik jadi raja baharu Asean
Tamat sudah jendela perlawanan antarabangsa bulan November dengan Malaysia mencatatkan keputusan yang positif apabila memenangi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.
Dengan kemenangan tersebut, Malaysia meraih tambahan 26.15 mata dan dijangka akan terus mendaki ranking dunia FIFA dalam kemas kini seterusnya.
Apa yang lebih membanggakan adalah, Malaysia merupakan satu-satunya negara Asean yang mengumpul tambahan mata daripada kedua-dua perlawanan dalam dua aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Lima lagi negara, iaitu Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Myanmar masing-masing akan ditolak mata kerana ada mencatatkan kekalahan dalam aksi kelayakan tersebut.
Vietnam ditolak 0.67 mata selepas tewas kepada Iraq dan menang ke atas Filipina, Thailand ditolak 0.40 mata selepas tewas kepada China dan menang ke atas Singapura, Filipina ditolak 9.77 mata selepas tewas kepada Vietnam dan seri menentang Indonesia, Myanmar ditolak 11.27 mata selepas tewas kepada Jepun dan Korea Utara, manakala Indonesia ditolak 5.81 mata selepas tewas kepada Iraq dan seri menentang Filipina.
Antara negara-negara Asean juga, Malaysia telah menunjukkan peningkatan paling banyak dalam ranking FIFA, bukan sahaja dalam jendela antarabangsa FIFA kali ini, tetapi sepanjang tahun ini.
Ini adalah satu petanda positif untuk pasukan negara dan menunjukkan Malaysia di landasan yang tepat untuk menjadi raja di Asia Tenggara, dan menjadi salah satu pasukan kuat di Asia seperti ketika 80an.
Banyak sejarah dan pencapaian yang telah dilakar dan dicatatkan oleh pasukan negara semenjak Kim Pan-gon mengambil alih pasukan pada Februari tahun lalu.
Malaysia boleh dianggap sebagai pasukan paling konsisten di Asia Tenggara, dan sekiranya konsistensi ini diteruskan, Malaysia tidak akan mempunyai kesukaran untuk mendominasi Asia Tenggara dan menjadi ‘Raja Asean’.