Prestai cemerlang Junior Eldstal bukti Kim Pan-gon tahu apa yang beliau lakukan

173

Kemenangan Malaysia ke atas Chinese Taipei dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 semalam meneruskan prestasi cemerlang yang ditunjukkan skuad kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan-gon.

Malaysia memimpin Kumpulan D dengan enam mata daripada dua perlawanan, mengatasi Oman dan Kyrgyzstan yang mengumpul dua mata, dan juga Chinese Taipei yang tiada mata.


Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang beraksi bersungguh-sungguh untuk memastikan Malaysia terus unggul dan berada di landasan yang tepat untuk ke pusingan seterusnya.

Antara pemain yang kurang diberi perhatian adalah pemain pertahanan, Junior Eldstal yang kebal memastikan benteng negara tidak dibolosi.

Berdasarkan statistik, beliau berjaya memenangi tiga daripada empat pertarungan di bahagian pertahanan, dan memenangi tujuh daripada 10 pertarungan bola di udara.

Ia membuktikan bahawa pemain-pemain Chinese Taipei mengharungi malam yang sukar untuk cuba menembusi kawalan pertahanan kelab Indonesia, Dewa United itu.

Ketika namanya dipanggil oleh Pan-gon, ramai yang mempertikaikan pilihannya kerana menganggap Junior sudah tidak relevan beraksi untuk Malaysia.

Namun, perlawanan semalam membuktikan bahawa Pan-gon tahu apa yang beliau lakukan, dan sebagai seorang jurulatih bijak dalam menilai kekuatan pemain untuk disesuaikan dalam pasukan.

Mungkin benar dari segi persembahan individu bersama kelab, terdapat ramai pemain-pemain lain yang menunjukkan prestasi lebih baik dari Junior tetapi tidak dipanggil, tetapi mungkin mereka tidak sesuai dengan gaya permainan yang mahu ditampilkan oleh Pan-gon.

Apa yang penting adalah, penyokong harus percaya dengan percaturan yang dibuat oleh jurulatih kerana tiada mana-mana jurulatih yang sengaja menyenaraikan seseorang pemain untuk kalah.

Kredit harus diberikan kepada Junior yang mampu meningkatkan kembali tahap permainannya selepas tidak berjaya mendapat tempat di Johor Darul Ta’zim (JDT) musim lalu, serta membuktikan beliau masih lagi layak menyarung jersi Harimau Malaya dan menjadi salah satu tonggak penting.