Jangan hanya wujudkan larangan hisap rokok di premis sukan, penguatkuasaan tegas juga harus dilaksanakan

246

Ketika pembentangan di Parlimen semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ada menyebut mengenai larangan merokok dan menghisap vape di semua premis sukan kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Langkah tersebut mendapat sambutan yang baik dalam kalangan banyak pihak kerana ia merupakan satu gangguan kepada penyokong yang hadir ke stadium.


Sebenarnya, larangan ini telah lama dikuatkuasakan di kebanyakan stadium atau premis sukan di negara ini, namun penguatkuasaan yang lemah menyebabkan masih ramai individu yang merokok di kawasan stadium dan premis sukan.

Contohnya ketika perlawanan melibatkan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, boleh dilihat terdapat individu yang menghisap rokok serta vape, terutama ketika rehat separuh masa.

Walaupun, pemeriksaan dan rampasan rokok serta vape telah dilakukan di pintu masuk, masih ada segelintir peminat yang berjaya membawa masuk.

Kini, perkara itu telah diwartakan dan ia adalah satu usaha yang baik, namun tiada guna sekiranya penguatkuasaan masih lemah.

Apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan penguatkuasaan sama ada di pintu masuk, dan juga ketika di dalam stadium itu sendiri.

Pihak berkuasa harus bertegas kepada mereka yang menghisap rokok atau vape dalam kawasan stadium, dengan memberikan amaran serta menghalau mereka yang degil.

Mewujudkan undang-undang dan peraturan adalah bagus, tetapi tanpa penguatkuasaan yang tegas, ia hanyalah sia-sia sahaja.