Inilah masanya kelab tempatan ambil peluang bawa Mano Polking ke Liga Malaysia

125

Pemecatan Alexandre Polking daripada jawatan ketua jurulatih Thailand semalam mengejutkan ramai pihak terutama peminat bola sepak Thailand, di mana keputusan itu dibuat sejurus selepas kemenangan skuad Gajah Perang dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Singapura.

Walaupun beliau berjaya membawa pasukan Thailand meraih beberapa kejayaan, termasuk menjulang Piala AFF sebanyak dua edisi berturut-turut, serta layak ke Piala Asia 2023, ia masih belum cukup untuk Persatuan Bola Sepak Thailand bagi mengekalkan beliau.


Polking akan digantikan dengan Masatada Ishii yang merupakan pengarah teknikal pasukan itu sebelum ini.

Sejak memulakan karier kejurulatihannya di Asia Tenggara pada 2012, Polking telah mencipta satu reputasi yang tinggi, dan memenangi beberapa kejuaraan dan pingat seperti juara Piala AFF 2020 dan 2022, naib juara Liga Thailand 2016 dan 2018, naib juara Piala FA Thailand 2017, selain tiga kali dinamakan sebagai jurulatih bulanan terbaik.

Justeru, beliau boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih yang hebat di rantau ini dan sudah mengenali bola sepak Asia Tenggara dengan sangat baik.

Dengan beliau kini sudah tidak terikat dengan mana-mana pasukan, ini merupakan salah satu peluang buat pasukan Liga Malaysia untuk cuba membawa masuk jurulatih yang berasal dari Brazil itu.

Dengan pengalaman serta reputasi yang dimilikinya dalam bola sepak Asia Tenggara, tidak mustahil beliau mampu menggegarkan Liga Malaysia.

Selain skuad kebangsaan Thailand, beliau sebelum ini pernah melatih beberapa kelab dari Thailand dan juga Vietnam iaitu Army United, Suphanburi, Bangkok United dan Ho Chi Minh City.

Liga Malaysia kini semakin hampir ke penghujungnya, jadi mungkin terdapat kelab yang sudah berkira-kira untuk menukar jurulatih pada musim hadapan. Tidak rugi rasanya jika ada kelab yang membawa masuk Polking, dan saingan Liga Malaysia juga pastinya akan lebih rancak dengan kehadiran beliau.