InsyaAllah jika Allah dah tulis rezeki kami ke Asia, pastinya boleh – Mukhairi Ajmal

297

Pemain tengah sensasi Selangor FC, Mukhairi Ajmal memberitahu sekiranya sudah tertulis rezeki mereka untuk ke pentas Asia, Piala AFC musim depan pastinya ia akan menjadi kenyataan.

“InsyaAllah jika Tuhan dah tulis rezeki kita pergi ke Asia, insyaAllah boleh. Saya juga percaya kepada pasukan Selangor yang mana kami akan buat yang terbaik untuk pasukan.

Tahun ini adalah tahun kedua saya bersama pasukan Selangor dan saya boleh katakan tahun ini adalah yang terbaik bagi saya,”

katanya.

Mukhairi yang baru sahaja pulang dari tugasan bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya dalam dua perlawanan Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berkata beliau berada pada tahap terbaik biarpun tidak diturunkan dalam kedua-dua perlawanan menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.


“Saya rasa cukup bersedia sebab di pasukan kebangsaan kita tahu pemain-pemain semua terbaik dan intensiti latihan cukup tinggi dan itu memberi saya lebih semangat dan motivasi kepada saya untuk berikan yang terbaik bersama pasukan nanti.”

Selangor kini dalam persiapan menjelang perlawanan Liga Super yang cukup penting menentang Perak FC yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di mana mereka dalam misi wajib menang.

Skuad The Red Giants yang mempunyai baki tiga perlawanan perlukan keputusan positif menentang Perak sebelum turun ke Darul Aman untuk menentang Kedah Darul Aman FC yang mana ia adalah perlawanan penentu samada mereka akan layak ke Piala AFC atau tidak.

Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun itu juga berkata mereka tidak boleh mengambil mudah dengan perlawanan menentang The Bos Gaurus nanti walaupun mereka berjaya menewaskan pasukan itu pada pusingan pertama di Stadium Ipoh, Perak sebelum ini.

“Kita tidak boleh ambil mudah dengan mereka walaupun kita pernah menang pada perlawanan pertama sebelum ini kerana ketika itu mereka dikendalikan oleh Datuk Lim Teong Kim.

Namun Perak kini sudah berbeza di mana corak permainan, taktikal dan pemain lebih baik, jadi kita tidak boleh ambil mudah dan saya harap kesemua pemain dapat berikan yang terbaik nanti.”