Azizulhasni atlet yang ‘kenang budi’
Dato’ Azizulhasni Awang disifatkan sebagai atlet yang mengenang jasa kerana bertegas akan kekal beraksi bersama pasukan berbasikal negara walaupun beberapa kali menerima tawaran untuk berlatih bersama pasukan profesional dalam siri perlumbaan Jepun dan Eropah.
Tindakan itu adalah satu bentuk cara beliau menghargai jasa negara yang telah banyak memperuntukkan bajet dan menghabiskan banyak masa untuk membentuk beliau menjadi jaguh basikal negara hari ini.
Pelumba basikal yang berada di kelasnya yang tersendiri itu dilihat sangat ‘humble’ dengan kejayaan-kejayaan yang dicapainya. Melihat dirinya yang sentiasa ‘dahagakan’ kejayaan dan tidak pernah menolak setiap kali diletakkan harapan kepadanya untuk menghadiahkan pingat dan kejuaraan kepada negara.
Azizulhasni tidak pernah merungut meskipun terpaksa tinggal berjauhan dari keluarganya yang menetap di Melbourne, Australia untuk bersama pasukan negara. Malah, beliau mengakui pernah menangis kerana terlalu rindukan keluarganya, namun beliau menganggap itu sebagai sebuah pengorbanan dirinya untuk negara dan keluarga beliau sendiri.
Meskipun dulu saiz tubuh badan dan ketinggian beliau dikatakan tidak memenuhi kriteria untuk beraksi di acara trek, namun Azizulhasni tidak pernah berputus asa berusaha melalui pembinaan dan kaedah pemakanan beliau berjaya memperbaiki saiz fizikalnya.
Antara pencapaian yang dicapai jaguh basikal negara itu termasuklah pingat perak Sukan Olimpik 2020 dan pingat gangsa acara keirin dalam Sukan Olimpik 2016, yang terbesar adalah pingat emas kejohanan Dunia pada 2017 dalam acara keirin dan pingat perak dalam Sukan Komanwel 2010 dan 2014.
Di usia 34 tahun, The Pocket Rocket Man itu dilihat masih berbisa dan berada di prestasi terbaiknya. Selain dikenali sebagai atlet yang merendah diri dan mudah mesra, beliau juga dilihat sering memberi sokongan peribadi kepada mana-mana atlet yang bertanding membawa nama Malaysia.