Siapa pemain Malaysia yang betul-betul bagus hingga pasukan luar mahu ambil? – Sith & Shamilo
Musim ini, dapat dilihat terdapat ramai pemain import yang mewarnai saingan MPL Malaysia, dengan pemain seperti Raizal dan Warlord menjadi tunjang pasukan untuk mengecap kejuaraan.
Namun, tidak ramai pemain negara yang melebarkan sayap mereka ke luar negara, dengan beberapa pemain yang sebelum ini pernah bermain diluar seperti SaSa dan Rippo kini sudah kembali ke Malaysia.
Pengulas MPL Malaysia, Sith dan Shamilo menganggap terdapat beberapa sebab mengapa kurang pemain Malaysia yang berhijrah ke luar negara.
“Bagi saya kita mempunyai pemain yang bagus, tetapi siapakah pemain yang betul-betul hebat sehinggakan pasukan luar seperti ONIC atau RRQ yang sanggup melaburkan wang untuk membawa masuk pemain kita?
Bagi saya pemain kita bagus apabila bermain bersama, dari segi individu mungkin tiada yang betul-betul menyerlah sehingga menarik perhatian pasukan luar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah mereka, daripada membelanjakan wang membawa masuk daripada Malaysia, pasukan-pasukan luar mungkin menganggap lebih baik jika mereka membawa masuk pemain yang sudah terbukti kehebatan mereka di pentas antarabangsa.
Selain itu, prestasi pasukan Malaysia di kejohanan besar antarabangsa seperti Kejohanan Dunia (M-Series) yang tidak begitu menyerlah turut menyumbang kepada perkara itu.
“Kita harus akui prestasi pasukan negara di kejohanan antarabangsa juga tidak berapa baik, jadi ia membuatkan sukar untuk pasukan lain mengambil risiko untuk melabur kepada pemain kita.
Jadi pemain kita tidak ada resume yang kuat untuk meyakinkan pasukan luar ambil.”
Namun, mereka berkata ada saja beberapa pemain negara yang mendapat tawaran dari luar negara cuma mungkin ada yang mahu berada di zon selesa dan tidak mahu bermain di divisyen bawah seperti MDL.
Mereka percaya, jika ada pemain negara yang berkelana di luar negara, pengalaman yang mereka dapat membuatkan mereka akan menjadi pemain yang lebih baik.