Team Haq kini sedang cari pemilik baru, Gary akui terima tawaran dari Todak

245

Dunia e-sukan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) dikejutkan apabila pemilik pasukan Team Haq iaitu Muhammad Aimanulhaq Zaharudin kini membuat posting di media sosial mencari pemilik baru.

“LFB Slot MPL S13,”

tulisnya ringkas.

Khabar angin yang mengatakan bekas juara MPL Malaysia musim ke-10 mahu mencari pemilik baru nampaknya sudah menjadi kenyataan.


Keputusan untuk melepaskan pasukan itu dibuat berikutan mereka kini berdepan masalah kewangan.

Situasi yang berlaku kepada The Haq telah membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pasukan yang mahu membuat kemunculan semula dengan membeli slot pasukan itu untuk musim ke-13.

Dalam pada itu, salah seorang pemain pasukan Team Haq iaitu Gary memberitahu beliau masih belum memikirkan mengenai masa depannya bersama pasukan itu lagi.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai kenyataan pemilik pasukan yang ingin menjual Team Haq.

“Buat masa sekarang saya tidak boleh beri sebarang komen lagi sebab belum pasti dan saya sendiri tidak tahu. Ia adalah hal yang berkaitan dengan pihak pengurusan, tambahan MPL pula pada bulan Mac depan, jadi lama lagi.

Untuk sekarang Team Haq masih ada dan kita juga masih bermain di Kohai. Saya masih lagi bersama Team Haq,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Gary pada masa sama turut mengakui ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain termasuk dari pasukan Todak tapi enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh bagi jawapan lagi sebab tak tahu. Boleh jadi tapi buat masa ini kontrak bersama Team Haq masih ada sehingga September depan.”