Padang ‘botak’ selepas konsert Coldplay, jangan jadikan tajaan TMJ sia-sia

214

Selepas konsert penyanyi berkumpulan British, Coldplay selesai pada Rabu lalu, ramai peminat bola sepak yang risau akan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi rosak.

Perkara itu nampaknya menjadi kenyataan apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik satu gambar keadaan padang di stadium itu yang menunjukkan terdapat kawasan yang ‘botak’.


Baginda seakan-akan kecewa dengan keadaan padang yang amat menyedihkan, setelah membelanjakan sebanyak RM1.4 juta bagi menukar rumput di stadium itu

Perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak terutama penyokong JDT dan Terengganu FC yang bakal hadir ke SNBJ untuk perlawanan akhir Piala Malaysia pada 8 Disember ini.

Selepas beberapa insiden melibatkan rumput di padang SNBJ, seperti ‘insiden penyodok’ ketika Kelayaka Piala Asia 2023 tahun lalu, serta rumput padang yang tercabut ketika kejohanan Pestabola Merdeka bulan lalu, penyokong pastinya tidak mahu melihat perkara itu berulang.

Tambahan pula, dengan harga tiket Piala Malaysia ditetapkan serendah RM50, penyokong pasti mahu melihat perlawanan dimainkan di padang yang cantik.

Sekiranya padang tersebut berada dalam keadaan yang tidak baik ketika perlawanan akhir itu, ia akan membuatkan usaha TMJ dalam menaja penanaman rumput itu sia-sia sahaja.

Berbaki dua minggu sahaja lagi, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) harus memastikan padang SNBJ berada di tahap terbaik pada 8 Disember nanti tidak kira bagaimana caranya sekalipun.