Skuad B-23 juga perlukan ‘friendly’ dengan negara kuat sebelum hadapi Piala Asia B-23

247

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan keputusan undian bagi kejohanan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada April depan.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan yang agak mencabar apabila diundi bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.


Skuad B-23 negara yang kini dibimbing oleh ketua jurulatih baharu, Juan Torres Garrido baru selesai menjalani kem latihan pusat dalam negara.

Kira-kira lima bulan lagi sebelum kejohanan itu berlangsung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) haruslah memastikan skuad B-23 negara dapat melakukan persediaan yang baik dengan menganjurkan perlawanan persahabatan yang berkualiti.

Seperti mana skuad senior negara sebelum ini sering disajikan dengan aksi persahabtan menentang pasukan di ranking yang lebih tinggi, skuad B-23 negara juga harus menentang lawan yang kuat sebagai persediaan ke kejohanan itu.

Jangan sekadar mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab tempatan atau luar negara dan negara-negara yang kurang kuat.

Berdasarkan undian tersebut, pastinya Vietnam dan Uzbekistan menjadi saingan besar buat negara.

Uzbekistan merupakan finalis bagi edisi lalu pada 2022, manakala Vietnam yang pada edisi sebelum ini juga diundi dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir, manakala Malaysia pula menamatkan saingan di kedudukan tercorot dalam kumpulan yang turut disertai Korea Selatan dan Thailand.

Pastinya kenangan pahit pada edisi berkenaan tidak mahu diulang kembali, justeru FAM harus memastikan skuad B-23 negara mempunyai persiapa yang baik dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara-negara kuat.