Aidil Sharin selangkah untuk rangkul trofi keduanya di Liga Malaysia
Nama ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak bukan asing dalam kancah bola sepak Malaysia kerana beliau merupakan bekas pengendali Kedah Darul Aman FC dari tahun 2019 hingga 2022 di mana beliau mempunyai rekod yang baik.
Aidil tidak mengambil masa yang lama apabila berjaya membawa pasukan Sang Kenari untuk menjulang Piala FA pada 2019 sekaligus merangkul kejuaraan pertamanya di Liga Malaysia.
Selain itu, beliau juga berjaya mengemudi pasukan itu untuk muncul sebagai naib juara Liga Super dua musim berturut-turut dan juga membawa pasukan ke pentas Asia iaitu play-off AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC.
Dek masalah dalaman yang berlaku, Aidil mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan itu dan berhijrah ke negara jiran Indonesia untuk mengendalikan kelab Persikabo 1973.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, Aidil kembali ke Liga Super apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Kuching City FC bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti pada awal Ogos lalu.
Pengendali dari Singapura itu sekali lagi memperlihatkan magisnya apabila berjaya membawa pasukan yang sedang bergelut untuk mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2023 menentang PDRM FC.
Perlawanan akhir pertama akan berlangsung pada 29 November ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala perlawanan akhir kedua pula akan berlangsung pada 3 Disember di Kuching, Sarawak.
Biarpun bergelut dalam saingan Liga Super yang mana mereka kini menghuni tangga kedua tercorot dengan hanya sembilan mata hasil satu kemenangan dan enam seri, namun Kuching City telah memperlihatkan peningkatan prestasi yang cukup baik sepanjang kejohanan Piala Cabaran.
Beliau juga berjaya mengecewakan penyokong Kedah apabila berjaya menewaskan bekas kelabnya 4-0 di peringkat suku akhir.
Pastinya fokus Aidil dan seluruh pasukan Kuching City pastinya ke arah perlawanan akhir Piala Cabaran yang mana mereka akan memberikan komitmen 200% bagi memastikan trofi itu berada dalam dakapan mereka sekaligus menamatkan musim 2023 dengan cukup cemerlang biarpun longlai dalam saingan liga.
Mampukah Aidil hadiahkan trofi buat penyokong bola sepak Sarawak? Atau PDRM yang kini diberi jolokan ‘The Giants Killer’ akan mengaggalkan impian Kuching City? Sama-sama kita nantikan.