Potensi lebih tinggi untuk Faisal Halim kekal di Selangor FC?

813

Baru-baru ini tular di laman media sosial TikTok mengenai bintang Selangor FC, Faisal Halim yang baru sahaja mengikuti akaun Instagram penaung pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dan juga ketua jurulatih pasukan itu, Esteban Solari.

Ramai penyokong tegar pasukan itu saling berteka-teki tentang keminatan pemain kegemaran ramai itu yang berkemungkinan ingin beralih ke pasukan JDT.


Banyak persoalan yang bermain diminda kita, namun jika dilihat dari segi pembayaran pemain yang lebih tinggi, Selangor FC juga pastinya mampu menandingi bayaran yang ditawarkan pasukan yang mengungguli Liga Super selama 10 tahun berturut-turut itu.

Selain itu, ‘Mickey’ juga pastinya sudah lebih selesa selama dua penggal bersama pasukan Red Giants dengan peluang beraksi (minit permainan) yang lebih lama.

Itu memberikan ruang yang kukuh buat dirinya yang sudah mencatatkan rekod 1,634 minit permainan di Liga Super untuk lebih menyerlah dan membuktikan prestasi beliau sebagai salah satu bintang utama.

Andai benar ura-ura yang mengatakan beliau akan menandatangani kontrak bersama JDT suatu hari nanti, kemunculan Faisal di atas padang pastinya akan lebih singkat dengan adanya saingan hebat bersama pemain sayap kanan yang sama hebat didalam pasukan itu.

Ini kerana pemain yang berada di posisi yang sama didalam pasukan JDT ketika ini adalah Arif Aiman, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Bukankah ianya akan menyukarkan jurulatih pasukan untuk membahagi tugas di posisi tersebut dengan adanya barisan pemain yang hebat belaka?

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang yang telah berjaya mencipta nama dibawah pasukan Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Selangor, mungkin sekali akan tenggelam sekiranya dimasukkan ke JDT.

Contoh dapat disaksikan daripada pemain sayap Hazwan Bakri yang dahulunya merupakan seorang pemain Selangor FC dan diserap masuk ke JDT yang akhirnya jarang diturunkan ke padang.

Beberapa hari lalu juga, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal juga mengesahkan proses lanjutan kontrak Faisal masih sedang dirunding.

Sehingga ke hari ini, persoalan tentang isu ini masih hangat diperkatakan. Ke manakah hala tuju pilihan Faisal Halim akan datang?