Siapa calon sesuai sebagai pembantu Kim Pan-gon?

2,711

Lim Teong Kim, Dato’ K Rajagopal, Zainal Abidin Hassan dan Shukor Adan antara nama yang dicadangkan sebagai individu yang paling sesuai mengisi jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang dilantik baru-baru ini.

Kim Pan-gon membawa 4 orang staf kejurulatihan seperti jurulatih penjaga gol, penganalisis, jurulatih kecergasan dan pembantu teknikal. Namun masih belum diputuskan siapakah yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan S. Balachandran itu.


Seperti yang semua tahu, posisi pembantu ini perlu diisi oleh seseorang yang berpengetahuan luas dalam bolasepak Malaysia. Pembantu jurulatih memainkan peranan penting dalam pemilihan pemain selaku individu yang memahami selok-belok liga tempatan. 

Teong Kim dengan kepakarannya sebagai bekas pengendali skuad B-16 yang dibentuk menerusi program NFDP lapan tahun yang lalu, memberi beliau kelebihan kerana lebih arif mengenai kemampuan pemain muda yang kita ada ketika ini. Pengalaman beliau ketika mengendalikan skuad B-19 Bayern Munich turut memberi kelebihan kepadanya.

Rajagopal pula selaku bekas pengendali skuad Senior, skuad B-19, Harimau Muda A, dan skuad B-23 kebangsaan tidak dapat disangkalkan lagi pengetahuannya mengenai pemain tempatan. Tambahan pula, beliau baru sahaja dilepaskan pengurusan Brunei dan belum ‘dilamar’ mana-mana pasukan.

Dato’ K Rajagopal yang dikhabarkan akan menamatkan khidmatnya bersama pasukan Brunei Darussalam yang akan berakhir hujung Januari ini. Sumber foto : Facebook Team Malaysia

Zainal yang juga baru dilepaskan Melaka United juga berpeluang mengisi posisi sebagai pembantu jurulatih kerana pengalaman beliau dalam membimbing beberapa pasukan liga tempatan seperti Selangor FC, Sri Pahang FC, Penang FC dan Melaka United. Beliau juga mempunyai rekod pencapaian peribadi bersama pasukan yang diwakilinya.

Manakala, nama Shukor turut menjadi bualan melihat kredibiliti beliau selaku jurulatih di KL City FC dan pembabitannya bersama Badan Siasatan Bebas FAM menjadikan beliau antara individu yang layak kerana lebih mengetahui masalah yang dihadapi pasukan kebangsaan ketika ini.

Dalam kalangan pemain tempatan, Shukor digelar ‘The Boss’ kerana ketegasannya dalam membimbing dan melatih pemain.