Selepas Richard Chin, Kobe Jae Chong pula? Buka mata lebih ramai pemain kacukan sarung jersi Malaysia

845

Dengan penambahan pemain berdarah kacukan, Richard Chin baru-baru ini yang telah menjalani latihan bersama skuad B-23 negara sebagai persiapan untuk ke Piala Asia B-23 pada April depan, ia merupakan satu perkara positif menjelang sepak mula kejohanan itu yang berbaki kurang enam bulan.

Pengalamannya bermain di England bersama Charlton Athletic dan kini sedang dipinjamkan ke Dartford mampu meningkatkan kualiti di bahagian pertahanan dan juga tengah negara.


Berita baik, beliau kemungkinan besar bukanlah pemain kacukan terakhir yang akan memperkuatkan skuad bimbingan Juan Torres Garrido apabila pemain kacukan Jamaica, Kobe Jae Chong juga memberi bayangan bahawa beliau akan turut menyarung jersi Malaysia tidak lama lagi.

Dalam satu ruangan komen di Instagram, pemain itu ada meninggalkan komen “Jumpa anda semua tidak lama lagi” disusuli dengan bendera Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ada memberitahu bahawa akan ada satu atau dua berita baik untuk skuad B-23 bagi persiapan untuk ke Piala Asia B-23, dan mungkin inilah berita baik yang dimaksudkan olehnya.

Kehadiran Kobe Jae Chong yang merupakan pemain tengah pastinya memberi pilihan yang lebih banyak buat jurulatih dalam merangka strategi serta gaya permainan yang mahu diterapkan.

Selain itu, kehadiran kedua-dua pemain kacukan ini mampu memberi pengaruh yang baik kepada pemain-pemain muda lain yang bermain di luar negara untuk turut menyertai Malaysia.

Pada Piala Asia B-23 nanti, Malaysia berada dalam Kumpulan yang agak mencabar apabila diundi bersama naib juara edisi terdahulu, Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Sekiranya terdapat mana-mana pemain kacukan atau yang sedang bermain di luar negara lain yang berpotensi untuk dibawa ke kejohanan itu, ia harus dilakukan dengan segera supaya mereka dapat menyertai persiapan secepat mungkin.

Selain itu, perlu ada perlawanan persahabatan yang berkualiti untuk skuad B-23 negara bagi membiasakan diri menentang pasukan hebat dalam kejohanan tersebut.