Ayuh warga Lembah Klang!, jom meriahkan aksi final Piala Cabaran 2023
Rabu ini akan berlangsungnya perlawanan akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang akan menyaksikan PDRM FC akan turun menentang Kuching City FC.
Biarpun kedua-dua pasukan ini bukanlah pasukan besar atau mempunyai penyokong yang ramai, namun perlawanan akhir ini pastinya cukup menarik untuk disaksikan kerana mereka mempunyai reputasi yang baik untuk menjadi dua pasukan terakhir untuk merebut kejuaraan yang baru diperkenalkan musim ini oleh Malaysian Football League (MFL).
Pasukan tuan rumah PDRM FC merupakan pasukan pilihan untuk menjulang trofi kali ini kerana prestasi cemerlang mereka pada musim ini selain berada di kedudukan ke lapan Liga Super ketika ini.
The Cops mempunyai reputasi yang cukup digeruni kerana musim ini mereka berjaya menumbangkan pasukan gergasi seperti Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan Selangor FC sekaligus diberi jolokan The Giants Killer.
Sejak Datuk Yunus Alif mengambil tugas sebagai ketua jurulatih Ogos lalu, beliau telah berjaya membawa pasukan untuk terus kekal konsisten sepanjang saingan liga termasuk di kejohanan Piala Cabaran yang mana beliau mungkin mampu membawa pasukan itu menjulang trofi pertama mereka musim ini, sekaligus menjadikan musim yang cemerlang buat PDRM.
PDRM bagaimanapun tidak boleh memandang enteng dengan pasukan Kuching City nanti kerana walaupun mereka berada di tangga kedua tercorot liga, namun pasukan itu sedang memperlihatkan peningkatan prestasi sejak Aidil Sharin Sahak menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih baru bagi menggantikan Irfan Bakti.
Aidil juga berjaya mengemudi pasukannya untuk menewaskan pasukan gergasi yang juga bekas kelab kendaliannya Kedah pada aksi suku akhir Piala Cabaran dengan agregat 4-0 sekaligus membuka mata ramai terhadap kemampuan pasukan dari Sarawak itu.
Pengendali dari Singapura itu juga sedang mengintai untuk merangkul kejuaraan keduanya di Liga Malaysia selepas kejuaraan pertamanya menjulang Piala FA pada tahun 2019 ketika bersama Sang Kenari.
Jika beliau berjaya menang, maka ia akan menjadi musim yang cukup cemerlang buat Kuching City musim ini.
Oleh itu, pasukan itu perlu pastinya mereka memanfaatkan peluang beraksi di tempat lawan sebaik mungkin supaya dapat bawa bekalan selesa apabila turun beraksi pada perlawanan akhir kedua yang akan berlangsung pada 3 Disember di tempat sendiri.
Oleh itu, diharap seluruh warga Lembah Klang dapat turun menyaksikan perlawanan akhir Piala Cabaran ini bagi memeriahkan aksi final ini.
Penjualan tiket sudah pun dibuka bermula hari ini dengan pasukan tuan rumah menjangkakan sekitar 300-400 penyokong akan hadir ke perlawanan itu.
Ayuh penyokong bola sepak di Lembah Klang! Kita penuhkan Stadium MBPJ sekurang-kurangnya 10,000 penyokong.