Suspek kes bunuh antara terlibat pergaduhan di MBPJ, ketatkan lagi kawalan di stadium demi keselamatan penyokong

111

Susulan kes pergaduhan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu lalu, pihak polis telah berjaya menahan seramai 23 suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu.

Apa yang mengejutkan adalah, kebanyakan daripada suspek tersebut mempunyai rekod jenayah, empat mereka membabitkan kes dadah serta jenayah manakala seorang lagi memiliki rekod dikehendaki berkaitan kes bunuh di Kajang selain 12 lelaki positif dadah hasil saringan air kencing dilakukan.


Perbuatan mereka jelas mencemarkan imej Liga Malaysia dan boleh membuatkan orang ramai tidak berasa selamat untuk hadir menonton perlawanan di stadium.

Sudah tentu dengan salah seorang daripada mereka merupakan suspek kes bunuh, serta terdapat empat penyokong yang memiliki rekod jenayah, pastinya ia memberi risiko yang tinggi terhadap penyokong yang hadir ke stadium.

Pihak penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) dan kelab-kelab harus mengambil serius mengenai insiden ini dengan mengetatkan kawalan keselamatan di stadium masing-masing.

Mungkin kedua-dua pihak boleh bekerjasama dengan pihak polis supaya membuat pengecaman wajah bagi memastikan mereka yang merupakan suspek jenayah atau mempunyai rekod jenayah yang serius tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium atau diberi kawalan rapi.

Kebiasaannya, hanya pihak marshal atau kakitangan stadium yang akan menjaga di pintu masuk stadium untuk memeriksa tiket, dan pihak polis hanya menjaga keselamatan di dalam dan luar stadium.

Adalah lebih baik sekiranya pihak polis juga ditugaskan untuk memeriksa individu di pintu masuk stadium.

Amatlah berbahaya sekiranya suspek jenayah dibiarkan berkeliaran di dalam stadium begitu sahaja, lebih-lebih lagi yang terlibat dalam kes bunuh.

Apa-apa saja perkara yang tidak diingini boleh berlaku terutama terhadap penyokong wanita dan juga kanak-kanak sekiranya individu-individu yang terlibat dengan jenayah diberi kebebasan di stadium.