Kita sudah ada peningkatan cuma kita perlu konsisten – Aidil Sharin

120

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya sudah memperlihatkan peningkatan ketika ini namun tidak konsisten menyebabkan mereka tewas 3-0 di tangan PDRM FC dalam perlawanan akhir Piala Cabaran 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Menurut Aidil, pasukannya berjaya menumbangkan pasukan gergasi Kedah Darul Aman FC pada peringkat suku akhir dan Kelantan United FC untuk menempat tiket ke perlawanan akhir.


“Tiada siapa jangka yang kami akan berjaya mara ke final. Pada perlawanan suku akhir kami berjaya tewaskan gergasi Kedah di tempat sendiri dan juga di tempat lawan tapi inilah Kuching City, sebuah pasukan baru dalam liga.

Kami sedang belajar untuk memperbaiki dan berdasarkan statistik kita tidak banyak menjaringkan gol dan juga banyak melepaskan gol. Ia bukan sebab seseorang pemain tetapi sebagai sebuah pasukan.

Sekarang kita sudah dapat lihat peningkatan cuma kita perlu lebih konsisten,”

katanya.

Kuching City musim ini bergelut dengan prestasi mereka apabila berada di tangga kedua tercorot Liga Super, namun selepas kehadiran Aidil baru-baru ini mereka telah memperlihatkan peningkatan terutamanya dalam kejohanan Piala Cabaran.

Dalam pada itu, beliau juga minta pemainnya untuk lupakan kekalahan pada malam tadi dan segera memberi fokus pada perlawanan akhir kedua yang akan berlangsung di tempat mereka sendiri pada 3 Disember ini.

“Hari ini pertahanan kita longgar dan saya berharap pada perlawanan kedua nanti kita mampu melakukan sesuatu lebih baik dari hari ini.”