Bukan penyokong saja, kami juga letak sasaran sejak awal musim untuk ke Piala AFC – Sam Somerville
Penjaga gol utama Selangor FC, Sam Somerville berkata bukan penyokong sahaja yang mahu pasukan ke pentas Asia musim depan tetapi beliau dan rakan sepasukannya juga sudah meletakkan sasaran untuk ke Piala AFC sejak dari awal musim lagi.
“Ini adalah perkara biasa apabila anda menjadi pemain Selangor. Tekanan bukan daripada penyokong tetapi juga dari diri kami sendiri yang mana kami sudah meletakkan sasaran ke pentas Asia sejak dari awal musim lagi.
Kini kami sudah hampir untuk mencapai sasaran itu dan perlawanan pada Sabtu kami perlu tiga mata penuh, jadi itu adalah fokus utama kami,”
katanya.
Selangor akan turun beraksi di Stadium Darul Aman pada 2 Disember ini menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) dalam perlawanan Liga Super dengan kedua-dua pasukan dalam misi wajib menang.
Ketika ini skuad The Red Giants berada di kedudukan kedua liga dengan kelebihan dua mata sahaja dihadapan Sang Kenari.
Dalam pada itu, beliau enggan mengambil kredit kepada dirinya sendiri apabila mencatatkan dua perlawanan tanpa bolos, sebaliknya berkata ia adalah hasil kerjasama seluruh pasukan dalam memastikan gawang mereka tidak bocor.
“Jika anda melihat dari beberapa perlawanan sebelum ini anda dapat melihat persefahaman yang cukup baik di antara kami yang mana ia diterjemahkan melalui kurangnya bolos kerana kami saling bantu membantu.”
Sementara itu, beliau juga berharap prestasi cemerlang pasukan sejak kebelakangan ini dapat diteruskan dalam baki dua perlawanan untuk mereka menamatkan saingan liga musim ini dengan cemerlang.