Arab Saudi dipilih tuan rumah peringkat akhir ACL Elite 2024/25 dan 2025/26, mungkin sehingga 2028/29

991

Bermula musim hadapan, saingan bola sepak kelab tertinggi di Asia, AFC Champions League (ACL) akan melalui perubahan format dengan namanya akan ditukar ke AFC Champions League Elite (ACLE).

Malaysia akan mempunyai satu wakil dalam kejohanan berprestij itu dengan juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan layak secara terus dalam pusingan liga.


Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa peringkat akhir kejohanan itu, iaitu perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir akan dimainkan di Arab Saudi untuk musim 2024/25 dan 2025/26.

Ia selepas bidaan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi untuk menganjurkan peringkat akhir kejohanan itu telah dinilai dan diterima oleh panel.

Justeru, kelab yang mara ke peringkat akhir kejohanan itu akan bermain dalam perlawanan kalah mati yang akan diadakan secara karnival.

Mengikut jadual ACLE 2024/25 yang ditetapkan, pusingan suku akhir akan berlangsung pada 25–26 April 2025, manakala separuh akhir pada 29–30 April 2025, dan perlawanan akhir pada 4 Mei 2025.

Selain daripada dua musim itu, Arab Saudi juga diberikan hak untuk tiga musim berikutnya juga iaitu dari 2026/27 hingga 2028/29, namun bergantung kepada prestasi menganjurkan dua edisi pertama ini.