e-Sports sebagai kokurikulum sekolah? Harap KBS dapat pertimbangkan dengan teliti
Alangkah seronoknya jika pelajar sekolah boleh bermain e-Sukan sebagai kokurikulum mereka pada setiap Rabu?
Meski ianya belum mendapat penyetujuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara keseluruhannya, namun ‘impian’ ini sudah pasti akan disambut baik oleh murid-murid zaman kini.
Memberi komen mengenai perkara ini, Setiausaha Agung Malaysian Esports Federation (MESF) Muhammad Naim Al-Amin berkata pelaksanaannya masih di dalam proses yang berjalan dengan agak lancar.
“e-Sport akhirnya sudah tersenarai didalam Akta Sukan tahun ini. Itu merupakan langkah pertama yang penting bagi menarik perhatian pihak kementerian.”
“Sebagai langkah kedua, kita ada National e-Sports Development Guideline (NESDEG) dibawah KBS yang merangkumi aspek ‘kanak-kanak’ yang boleh kita selitkan ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dimasukkan sebagai kokurikulum sekolah.”
“Buat masa ini masih belum ada penekanan khusus. Barangkali diharapkan tahun hadapan, pihak KBS serta Esports Intergrated (ESI) boleh merancang panduan untuk ianya dilaksanakan.”
Jawabnya ketika ditemui di ESI Hub@Spacerubix Puchong.
Walau bagaimanapun, beliau yang ditemui sewaktu peringkat akhir Esports State Tournament League (ESTL) petang tadi berkata mereka sedang sedaya upaya menjalankan aktiviti demi memburu atlet-atlet dari peringkat sekolah, daerah serta negeri.
“Kami juga telah memulakan jelajah e-Sukan Malaysia buat remaja dibawah lingkungan umur 17 tahun.”
“Ia merupakan kerjasama permulaan bersama KBS dan jabatan negeri-negeri.”
Pempengaruh Muhammad Fauzi Ramli atau lebih mesra dengan panggilan ‘Popopoije’ turut penyokong andai kata cadangan e-Sukan sebagai kokurikulum sekolah berjaya dilaksanakan.
“Ianya tidak akan menjadi suatu masalah kerana e-Sports bagaikan salah satu nadi darah belia masa kini.”
“Sekiranya ia bermula dari akar umbi, sejak dibangku sekolah, tidak akan menjadi suatu masalah asalkan ianya penting untuk dikawal dengan baik.”
“Menerapkannya bagus demi melahirkan waris e-Sports negara kita untuk jangka masa panjang.”
Diharapkan pihak KBS dapat mempertimbangkan usulan ini dengan teliti dan cermat untuk kebaikan bersama seiring memajukan arena sukan negara kita.