Kita akan buat perancangan terbaik untuk ACL 2 musim depan – Tan Cheng Hoe
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pasukannya layak ke AFC Champions League 2 (ACL 2) selepeas berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 dalam perlawanan Liga Super malam tadi.
Dalam aksi yang cukup dramatik itu menyaksikan Selangor menamatkan saingan liga pada musim ini sebagai naib juara.
Susulan kejayaan berjaya mara ke pentas Asia, Cheng Hoe berkata pihak pengurusan ada perancangan terbaik untuk pasukan musim depan.
“Itu saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan tapi sudah pasti kita ada perancangan terbaik dan kita perlu lihat kemampuan pasukan juga.
Kita tidak boleh terus nak belanja besar tandatangani mana-mana pemain kerana apa yang penting adalah kebajikan juga jadi kita perlu berhati-hati tentang persiapan kita pada musim depan,”
katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pengurusan pasukan untuk melakukan yang terbaik untuk pasukan.
Dalam pada itu, pengendali berasal dari Kedah itu berkata perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman di hadapan lebih 20,000 penyokong cukup sengit sejak dari minit pertama lagi.
“Satu kemenangan yang cukup dramatik jika kita lihat separuh masa pertama kita nyaris-nyaris dibolosi gol dan kemungkinan ia akan menjejaskan motivasi dan juga keyakinan.
Pada separuh masa kedua kita bermain dengan lebih fokus dan berjaya menjaringkan gol kemenangan. Jadi tahniah kepada keseluruhan pasukan.”
Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa berterima kasihnya kepada Raja Musa Selangor (RMS) Tengku Amir Shah yang memainkan peranan yang cukup penting dalam pasukan.
“Terima kasih kepada RMS kerana sentiasa memberi sokongan dan juga pihak pengurusan, barisan kejurulatih dan pemain-pemain yang sentiasa memberi sokongan terbaik untuk pasukan.”
The Red Giants kini mempunyai baki satu perlawanan menentang PDRM FC yang akan berlangsung pada 17 Disember ini.