Selepas Anthony Martial, beberapa pemain lain dijangka akan dipinjamkan

123

Penyerang sensasi Manchester United, Anthony Martial bakal menyarung jersi Sevilla selepas kelab itu bersetuju untuk ambil pemain itu secara pinjaman.

Martial antara salah seorang pemain yang dikatakan akan berpindah ke kelab lain secara pinjaman sejak The Red Devils dikendalikan oleh Ralf Rangnick Disember lalu.


Selain Martial, beberapa nama lain seperti Jesse Lingard, Donny van de Beek, Dean Henderson, Teden Mengi dan Amad turut dikaitkan akan dipinjamkan.

Menurut laporan dari 90min, kelab Newcastle United telah membuat tawaran kepada United lebih RM47 juta untuk mendapatkan Lingard secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.

Terdahulu menurut laporan dari Skysports, Martial pernah minta untuk dilepaskan ke kelab lain kerana mahu mencari minit permainan berikutan beliau jarang diturunkan sejak Rangnick ambil alih United.

Pemain berusia 26 tahun itu akan terbang ke Sevilla hari ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Juventus dan Barcelona juga berminat untuk mendapatkan Martial tetapi beliau memilih Sevilla kerana percaya beliau akan mendapat minit permainan seperti yang dikehendakinya.

Martial yang menjadi pemain remaja termahal ketika menyertai United dari Monaco 2015 telah membuat 269 penampilan dengan menjaringkan 79 gol.

Beliau mula disisihkan di bahagian serangan susulan kehadiran Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Mason Greenwood.

Sejak mengambil alih pasukan sebagai pengurus sementara, Rangnick dengan lantang menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pemain-pemainnya.

Beliau juga berani menggantikan mana-mana pemain yang dilihat tidak dapat beri impak ketika perlawanan termasuklah Ronaldo.

Malah pengendali berusia 63 tahun itu juga dilaporkan pernah memberitahu CEO baru kelab itu bahawa Harry Maguire, Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka tidak cukup bagus untuk bermain untuk United.