Kalau nak berjaya jangan janjikan bulan dan bintang, tetapi tunjukkan dengan peningkatan

120

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super buat 10 kali berturut-turut pada musim ini adalah satu perkara yang luar biasa dan menunjukkan dominasi mereka dalam saingan domestik.

Kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa langkah pertama yang dilakukan pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melaksanakan revolusi pasukan pada tahun 2013.


Dalam satu komen di laman Instagram, TMJ menekankan bahawa pasukan itu tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang kepada para penyokong, namun berjaya menunjukkan hasil dengan memenangi banyak piala sepanjang penubuhannya.

Selain itu, baginda juga berkongsi tentang mimpinya bahawa pasukan itu akan menjadi lebih kuat pada musim depan.

Apa yang telah dicapai oleh JDT sehingga ke hari ini sememangnya memerlukan seorang individu yang mempunyai pelan, visi dan matlamat seperti TMJ.

Kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia ini masih lagi ketinggalan jauh berbanding JDT disebabkan tiada individu seperti itu yang mahu melakukan perubahan dalam kelab.

Walaupun pahit, apa yang dikatakan oleh TMJ mengenai janji bulan dan bintang itu adalah benar kerana terdapat kelab yang sentiasa memberi harapan kepada penyokong mereka, sedangkan pengurusan sendiri tidak bertindak seperti apa yang dijanjikan.

Seperi yang dikatakan oleh TMJ, musim depan pasukan mungkin akan menjadi lebih kuat berbanding musim ini.

Jika terdapat mana-mana pasukan yang mahu mencabar pasukan itu, mereka perlu menampilkan peningkatan yang jauh lebih tinggi kerana JDT sudah berada lebih 100 langkah di hadapan.