Bergambar dengan Ronaldo detik indah dalam hidup saya, tak mudah untuk bergambar dengannya – Abang Zulkarnain
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman berkongsi pengalamannya dapat bergambar dengan legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sewaktu menjadi pesuruhjaya perlawanan ketika perlawanan AFC Champions League (ACL) melibatkan pasukan Al-Nassr.
Beliau menyifatkan ia sebagai detik yang indah dalam hidupnya, lebih-lebih lagi kerana beliau merupakan penyokong Manchester United, kelab yang pernah diwakili Ronaldo.
“Ketika itu perlawanan pertama Al Nassr dan saya diamanahkan oleh AFC untuk menguruskan perlawanan tempat sendiri Al-Nassr di Al Awwal Park.
Memang saya rasa sangat teringin untuk bergambar dengan Ronaldo kerana beliau adalah seorang figura yang sentiasa sebati dengan Manchester United,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada mulanya, Abang Zulkarnain berkata beliau dimaklumkan oleh pihak pengurusan Al-Nassr bahawa tidak mudah untuk bergambar dengan Ronaldo.
Ia kerana, pemain itu adalah seorang yang amat fokus dan tidak suka diganggu apabila sesi latihan.
“Sehari sebelum perlawanan ketika sesi latihan, beliau datang ke stadium dan pengawalnya memang ramai.
Saya gunakan kelebihan selaku pesuruhjaya perlawanan dan meminta izin daripada pihak kelab untuk bergambar dengannya jika diizinkan, dan beliau bersetuju untuk bergambar.”
Katanya, beliau menunggu sehingga pulang ke Malaysia untuk berkongsi gambar tersebut di media sosial bagi menghormati etika sebagai pesuruhjaya perlawanan.