PSM sedang bincang dengan KBS mengenai keadaan padang SNBJ

1,339

Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 8 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, terdapat kebimbangan mengenai keadaan padang di venue tersebut selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar terkini keadaan rumput di padang tersebut.

Menerusi gambar yang dikongsi di media sosial baginda, terdapat kawasan tertentu yang kelihatan ‘botak’, dan tidak mempunyai standard untuk menganjurkan perlawanan bola sepak.


Harimau Malaya menghubungi pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan wakilnya berkata bahawa mereka akan berbincang dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

Pada 22 November lalu, band terkemuka Britain, Coldplay telah menganjurkan satu konsert di SNBJ yang dihadiri kira-kira 75,000 peminat.

Ramai yang bimbang akan keadaan padang di stadium tesebut kerana dikhuatiri tidak sempat untuk pulih selepas konsert tersebut.

Pada 24 November, Pengerusi PSM iaitu Datuk Hans Isaac telah memuat naik gambar rumput baharu yang akan digunakan untuk membaiki semula keadaan padang tersebut.

Bagaimanapun, perkongsian terbaru TMJ itu menunjukkan bahawa padang tersebut masih belum bersedia untuk menganjurkan perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu itu.