Kim Pan-gon tak salah, warisan adalah ‘trend’ bola sepak dunia!

277

Beberapa negara dilihat tidak senang dengan pilihan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dalam kecenderungan menyenaraikan pemain bukan berwarga negara Malaysia untuk beraksi dalam skuad Harimau Malaya.

Namun, adalah disarankan untuk kita memahami konsep serta ‘trend’ ini terlebih dahulu.


Kebanyakan pemain bola sepak kita mempunyai ibu atau bapa yang merupakan anak tempatan, membuatkan mereka berdarah campuran Malaysia.

Secara tidak langsung, mereka boleh diklasifikasikan sebagai ‘pemain warisan’.

Mengapa Malaysia seakan menjadi ‘mangsa’ dalam hal ini? Sedangkan terdapat juga negara dari Eropah yang melakukan tindakan yang sama.

Sebagai contoh, seramai 15 daripada 20 orang finalis FIFA U-17 World Cup dari negara Jerman dan Perancis adalah pemain warisan.

Kedua-dua pasukan memiliki pemain dari pelbagai pelosok negara seperti Turkiye, Nigeria, Iraq, Cameroon, Senegal dan Portugal.

Tetapi kenapa tempiasnya ke pemain Malaysia, bagaikan pemain dari Eropah sebegitu umpama ‘tutup mata’ sahaja dan tidak dipersoalkan sama sekali?

Adakah ianya hanya kerana Malaysia berada sekitar tangga ke-130 dunia dalam kedudukan bola sepak FIFA?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menambah lagi pemain warisan berbanding pemain naturalisasi.

Pemain muda seperti Richard Chin dan Kobe Jae Chong yang mempunyai campuran Malaysia boleh menjadi seperti Corbin Ong dan Brendan Gan akan datang, malah ramai lagi!

Kita juga mempunyai pemain bola sepak warisan namun tidak beraksi dalam liga Malaysia. Diharapkan pemain sayap kiri Jaami Qureshi dan juga Wan Kuzain serta adiknya, Wan Kuzri bersetuju untuk menukar kerakyatan demi mewakili skuad tanah air kita yang tercinta.

Sudah pasti pasukan kebangsaan kita akan jauh lebih maju masa hadapan dengan kehadiran pemain warisan yang sememangnya berbakat besar.